BERSEMPENA bulan Kesedaran Kanser Payudara, Novartis Malaysia bergabung tenaga dengan Persatuan Pendidikan Perubatan, Institut Kanser Kebangsaan (IKN) untuk memberi inspirasi dan menghargai kekuatan dan kemandirian pesakit kanser payudara, terutamanya mereka yang berada dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Sejak kebelakangan ini, penjagaan kesihatan awam Malaysia telah bertambah baik dengan peluang untuk pesakit kanser payudara mengakses terapi inovatif terkini seperti terapi bersasar.
Kempen ini bertujuan untuk memberi inspirasi dan memberi harapan kepada pesakit kanser payudara, termasuk pesakit kanser payudara lanjutan (aBC), untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik dengan pemeriksaan awal serta akses kepada rawatan dan terapi yang disasarkan.
Bertemakan Senyuman dan Harapan, program ini telah bermula pada 17 Oktober dengan beberapa siri aktiviti dan pameran yang mempamerkan karya seni inspirasi daripada mangsa kanser payudara.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Kenwork dan Yayasan Budi Penyayang turut serta dalam kempen tersebut. Karya seni ini berfungsi sebagai platform untuk pesakit memberi inspirasi kepada pesakit lain dengan berkongsi pengalaman mereka menjalani kehidupan dengan menghidap aBC.
Pameran ini beserta bahan seni yang dipamerkan akan ditempatkan secara kekal di Galeri Senyuman dan Harapan di Aras 4 IKN. Tarikan utama galeri adalah Pohon Harapan buatan tangan yang indah oleh KakiSeni (Pohon Harapan), dengan mesej inspirasi oleh artis dan pesakit kanser payudara.
Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah melancarkan Galeri Senyuman dan Harapan pada Selasa. Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan, Dato’ Dr Asmayani Khalib; Pengarah IKN, Dr. Mohd Anis bin Haron; Pengerusi Persatuan Pendidikan Perubatan IKN, Datin Dr Zuhanis Abdul Hamid.
Presiden Novartis Malaysia & Brunei, Elwakil Mohamed dalam ucapannya berkata, selain daripada memikirkan mengenai ubat-ubatan untuk memperbaiki dan memanjangkan hayat orang ramai, Novartis juga komited untuk membina harapan untuk pesakit kanser payudara.
"Tujuan kami adalah untuk mendidik, memberi inspirasi dan memperkasakan pesakit kanser payudara agar tidak kehilangan harapan kerana terdapat rawatan progresif yang telah menunjukkan hasil yang positif," katanya.
Dalam Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025 yang dilancarkan baru-baru ini, terdapat permintaan untuk memasukkan terapi bersasar baharu dalam Formulari Kementerian Kesihatan.
"Kerjasama kami dengan IKN adalah cara terbaik untuk mempamerkan semangat gigih mereka yang berjuang melawan kanser payudara,” kata Elwakil.
Sementara itu, Dr. Mohamed Anis Haron berkata, kerjasama dengan Novartis Malaysia adalah penting bagi meningkatkan kesedaran kanser payudara, khususnya mengenai saringan awal dan terapi inovatif yang mampu meningkatkan kualiti hidup.
Walaupun terdapat kelaziman kanser payudara di Malaysia, pemahaman tentang perkara ini masih rendah.
"Saya berharap inisiatif bersama Novartis Malaysia ini akan dapat menghidupkan semula semangat pesakit untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang betul,” kata beliau. - DagangNews.com