OPV 1 APMM dijadual siap Julai 2023, terlewat disebabkan tunggu meriam dari luar negara | DagangNews Skip to main content

OPV 1 APMM dijadual siap Julai 2023, terlewat disebabkan tunggu meriam dari luar negara

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) semasa meninjau kapal OPV 1 selepas dilancarkan ke air pada Januari lalu.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

DALAM tempoh dua bulan lagi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijadualkan menerima kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) apabila lulus menjalani ujian di laut.

 

OPV 1 dijangka diserahkan pada 24 Julai ini selepas tertangguh berbanding pengumuman sebelumnya iaitu diserahkan pada bulan Mac.

 

Isu penerimaan peralatan utama yang diperoleh dari luar negara seperti meriam dan bot dikatakan menjadi punca kelewatan penerimaan kapal.

 

Bagi dua kapal berikutnya iaitu OPV 2 dan OPV 3, ia akan diserahkan secara berperingkat-peringkat pada hujung tahun dan awal tahun hadapan.

 

Bagaimana pun, tujuh bulan selepas OPV 1 dilancarkan ke air, tidak banyak maklumat diketahui tentang fasa ujian di laut yang dijalankan pada kapal tersebut.


 

Kapal OPV 1 yang diberi nama KM Tun Fatimah selepas dilancarkan ke air pada November tahun lalu.

 


Situasi ini juga sebenarnya menimbulkan tanda tanya berhubung status semasa projek berkenaan.

 

Memandangkan OPV APMM ini merupakan sebuah projek nasional, maka sepatutnya sebarang perkembangan semasa kapal wajar dikongsi kepada umum atau lebih tepat dengan rakyat Malaysia.

 

Perkongsian maklumat tentang perkembangan projek OPV ini kepada umum juga tidak akan memberi sebarang implikasi keselamatan kerana ia bukanlah melibatkan hal-hal teknikal atau strategi.

 

Sebaliknya, ia dapat menyuntik rasa bangga rakyat apabila melihat kemampuan syarikat perkapalan tempatan.

 

Tidak seperti projek pembinaan aset keselamatan di negara jiran misalnya, pihak syarikat atau firma pembinanya galak untuk berkongsi perkembangan projek dengan pihak media.


 

Kapal OPV 1 yang diberi nama KM Tun Fatimah selepas dilancarkan ke air pada November tahun lalu.
Bahagian kapal dipercayai milik OPV 3 yang mana kapal ini dijangka siap tahun hadapan.
 

 

Sebaliknya di sini, pihak syarikat lebih gemar memilih pendekatan berdiam diri serta enggan berkongsi sebarang perkara melainkan jika ada lawatan melibatkan menteri atau pegawai atasan.

 

Itupun hanya kenyataan rasmi yang dikeluarkan dengan pihak media kebiasaannya tidak dijemput untuk membuat liputan atas alasan kerahsiaan.

 

Keadaan ini sebenarnya dilihat sebagai tidak patut kerana peranan media massa itu sendiri adalah untuk menyampaikan maklumat kepada umum, apatah lagi jika melibatkan projek berkepentingan nasional.

 

Janganlah pihak media hanya dipanggil apabila terjadinya sesuatu yang mendesak dengan tujuan untuk memulihkan imej projek tetapi selepas itu media tidak diperlukan.

 

Program OPV APMM kini menelan kos kira-kira RM891.5 juta setelah kerajaan menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta untuk memastikan projek tersebut yang kini diambil alih Kementerian Kewangan disiapkan pada tahun ini.

 

Bagi pembinaan OPV untuk sebuah pasukan penguat kuasa, jumlah ini adalah besar tambahan pula kapal yang dibina bukanlah sofistikated atau mempunyai ciri-ciri seperti kapal perang.


 

APMM memerlukan kapal peronda baharu untuk menggantikan kapal-kapal lama yang usang.

 


Dengan tambahan dana ini, secara kasar anggaran kos bagi sebuah OPV telah meningkat kepada RM297 juta sebuah berbanding RM246.3 juta sebelumnya iaitu pertambahan RM50.7 juta.

 

Tambahan RM152.6 juta yang dibuat kerajaan untuk menyelamatkan projek OPV APMM ini adalah menyamai dengan kos untuk membeli sebuah kapal OPV baru bersaiz 60 meter.

 

Dengan kos yang sama juga boleh membiayai pembelian sebanyak 16 buah bot pemintas laju (FIC) lengkap dengan sistem persenjataan.

 

Pada 6 Januari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta, projek pembinaan dua OPV disiapkan mengikut tempoh ditetapkan iaitu pada Mac dan Oktober hadapan.

 

Beliau, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan terdapat peralihan masa bagi menyiapkan pembinaan kapal pertama.

 

Namun, Saifuddin memaklumkan kerajaan berpendirian supaya tarikh serahan tidak diubah.

 

Kapal pengawal pantai Vietnam kelas DN2000 yang dibina oleh syarikat tempatan negara itu berasaskan rekaan Damen 9014 dengan rupa bentuk seperti OPV APMM tetapi bersaiz lebih besar.
Kapal pengawal pantai Vietnam kelas DN2000 yang dibina oleh syarikat tempatan negara itu berasaskan rekaan Damen 9014 dengan rupa bentuk seperti OPV APMM tetapi bersaiz lebih besar.
 

 

Syarikat THHE Destini memperolehi kontrak sebanyak RM738.9 juta daripada kerajaan pada Januari 2017 untuk membekal, menguji dan mentauliah tiga buah kapal OPV untuk APMM di dalam tempoh 42 bulan.

 

THHE-Destini dimiliki 51 peratus oleh Destini Berhad manakala 49 peratus dimiliki oleh TH Heavy Engineering Bhd.  

 

Bagaimana pun pada akhir 2021, TH Heavy membeli 51 peratus saham yang dimiliki oleh Destini.

 

Kapal OPV 1 sepatutnya dilancarkan pada 13 September 2022 sebelum tarikh pelancarannya dilanjutkan kepada 10 Oktober.

 

Kapal ini dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal peronda China.

 

Jika diterima pada Mac lalu, OPV yang akan diberi nama sebagai Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah itu sepatutnya dapat dipamerkan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).

 

Kehadiran KM Tun Fatimah ke Langkawi ini sudah pasti menjadi antara aset tarikan utama, apatah lagi statusnya sebagai kapal peronda yang dibina oleh syarikat tempatan.

 

Kemunculan KM Tun Fatimah sama sekali dapat melenyapkan kontroversi atau isu berhubung kelewatan menyiapkan kapal tersebut apabila kapal sebenar dapat dilihat di depan mata.

 

Bagaimana pun, hasrat itu tidak kesampaian dan LIMA 2023 umpama hilang satu daya tarikan. - DagangNews.com