OURFOOD: Penghantaran makanan lebih mudah, murah | DagangNews Skip to main content

OURFOOD: Penghantaran makanan lebih mudah, murah

Ourfood

KUALA LUMPUR 25 Jun – Syarikat Kumpulan AirAsia Bhd, Teleport, berjaya memacu perkembangan infrastruktur logistik dan teknologinya dengan memperkenalkan sebuah platform penghantaran makanan terkini yang dikenali sebagai OURFOOD.

Pengurus Pertumbuhan OURFOOD, Sabrina Khaw berkata, platform dan sistem teknologi yang dihasilkan itu bertindak sebagai penyelesaian perniagaan yang jauh lebih mudah dengan harga yang berpatutan untuk para pelanggan dan pemilik perniagaan.

“OURFOOD sangat sesuai untuk perniagaan F&B yang mengambil pesanan daripada WhatsApp, Facebook dan Instagram. Pemilik pernigaan hanya perlu kongsikan pautan menu kepada para pelanggan untuk membuat pra-pesanan atau menerima penghantaran makanan dengan segera. 

“Pelanggan kemudiannya boleh membuat pembayaran serta memeriksa status pesanan makanan. Semuanya boleh dibuat dalam satu masa dengan hanya menggunakan satu pautan.

“OURFOOD juga mengurangkan kerja pentadbiran seperti urusan pembayaran, pesanan dan logistik untuk peniaga dan pelanggan. Kami telah lancarkan versi awal OURFOOD pada 14 Mei lalu dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan. Kami harap rakan niaga kami dapat lihat bahawa situasi ini bukan hanya mengenai corak perniagaan semasa yang baharu, tetapi untuk meneroka bagaimana kita dapat berkembang bersama-sama,” katanya seperti dipetik AirAsia Newsroom, hari ini.

OURFOOD tampil dengan tujuh ciri utama yang membezakannya dengan platform penghantaran makanan lain seperti tawaran penglibatan kepada semua jenis perniagaan, proses penfaftaran yang mudah; keupayaan mencipta menu khusus; penyelesaian pembayaran automatik dan penghantaran dalaman (in-house); pilihan penghantaran atas permintaan dan pra-pesanan tersedia; fungsi laporan tersedia dan jangkauan penghantaran hingga 40 kilometer (km).

Lebih menarik, tiada yuran pendaftaran, kontrak atau peranti khas diperlukan. Rakan niaga dan para pelanggan boleh menerima dan menebus mata ganjaran AirAsia BIG untuk setiap transaksi.

Biarpun dalam fasa permulaan, OURFOOD akan meluaskan sayap pengoperasiannya ke Pulau Pinang dan Johor selain berjaya mengumpulkan 36 rakan niaga lain seperti Agrain, Ahh-Yum By Kampong Kravers; Aroma De Nata; Aunty Sam Satay dan lain-lain lagi.

Jika berminat untuk menjadi rakan niaga bersama OURFOOD, pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://www.ourfood.my/be-our-partner atau berminat untuk menjadi rakan penghantar Teleport, pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://www.teleport.asia/be-our-delivery-partner.