DALAM dunia yang semakin kompleks dan penuh cabaran ini, konsep wasatiyyah dilihat semakin relevan. Ia merujuk kepada pendekatan yang seimbang dalam semua aspek kehidupan, baik dalam urusan peribadi, sosial mahupun ekonomi.
Wasatiyyah perlu dijadikan sebagai batu asas untuk memperkukuhkan ajaran Islam dan membawa keseimbangan.
Para ulama memberikan definisi wasatiyyah dengan maksud keseimbangan, kecemerlangan dan keadilan. Ia membawa makna keseimbangan dalam mengamalkan ajaran Islam dan meletakkan sesuatu tanggungjawab pada haknya.
Ia tidak bermaksud kesederhanaan, jauh sekali dari bersikap lebih kurang atau biasa-biasa sahaja kerana Islam adalah agama yang seimbang dan telah mengambil kira kepentingan keseluruhan aspek kehidupan manusia.
Para ulama tidak mendefinisikan al-wasatiyyah dengan maksud sederhana, namun ianya mempunyai elemen pertengahan kerana al-wasatiyyah juga mempunyai kaitan dengan perkataan wast, yang membawa makna pertengahan antara dua perkara yang boleh diterjemahkan sebagai al-i’tidal.
Konsep pertengahan boleh disamakan dengan konsep bersederhana tetapi ia tidak wujud dalam beragama kerana seorang Muslim perlu menjadi yang terbaik dalam beragama.
Walaubagaimanapun, kesederhanaan wujud dalam penampilan dan dalam berbelanja sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Isra’ ayat ke-29, yang menyarankan agar tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut.
Al-Qardawi dalam kitab karangan beliau Kalimat fi al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa Ma’alimiha telah menyenaraikan serta memperincikan enam elemen wasatiyyah iaitu
- Keadilan
- Istiqamah
- Terbaik
- Keamanan
- Kekuatan
- Kesatuan
Keenam-enam elemen ini mencerminkan pendekatan wasatiyyah yang seimbang dalam semua keadaan dengan mendahulukan sesuatu pada tempatnya.
Wasatiyyah memainkan peranan penting dalam hubungan sosial. Dengan memupuk sikap saling menghormati, masyarakat dapat hidup dalam suasana yang lebih aman.
Wasatiyyah mengajarkan pentingnya keseimbangan dalam hubungan. Ini termasuk memberi dan menerima, mendengar dan bercakap. Hubungan yang seimbang membolehkan semua pihak berasa dihargai dan diiktiraf.
Penerapan wasatiyyah dalam hubungan sosial juga membawa makna memupuk empati, iaitu dengan memahami perasaan dan situasi orang lain. Perkara ini akan membantu seseorang untuk berinteraksi dengan lebih bijak dan berhemah.
Sikap kasih sayang dan keprihatinan terhadap orang lain bukan sahaja memperkukuh ikatan sosial, malah membina masyarakat yang lebih peka dan saling menyokong antara satu sama lain.
EKONOMI
Manakala penerapan wasatiyyah dalam pengurusan ekonomi membawa maksud bersikap berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan; tidak berlebihan sehingga berlaku pembaziran atau tidak bersikap terlalu berhemat.
Ia adalah satu pendekatan yang memberikan panduan untuk mencapai kestabilan kewangan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Pendekatan seimbang ini dapat memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
Selain itu, dalam konteks kehidupan peribadi, wasatiyyah melatih individu untuk mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Masa yang dihabiskan terlalu banyak di tempat kerja boleh memberikan impak negatif kepada kesihatan mental dan juga hubungan keluarga.
Oleh itu, pengurusan masa yang bijak adalah salah satu langkah untuk memperoleh kesejahteraan hidup.
KESEIMBANGAN
Wasatiyyah bukanlah kesederhanaan tetapi keseimbangan. Ia adalah elemen yang penting dalam mencapai kehidupan yang seimbang dan harmoni.
Penerapan prinsip ini dalam setiap urusan kehidupan mampu menjadikan seseorang individu itu lebih bijaksana dalam membuat keputusan, dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. - DagangNews.com