Pavilion REIT catat peningkatan untung bersih 19% pada 1QFY24 kepada RM83.16 juta | DagangNews Skip to main content

Pavilion REIT catat peningkatan untung bersih 19% pada 1QFY24 kepada RM83.16 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 25 April - Untung bersih Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) meningkat 19% kepada RM83.16 juta, berbanding RM70.05 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia Pavilion REIT berkata, pendapatannya bagi suku tahun itu meningkat 40% kepada RM218.5 juta daripada RM156.4 juta pada 1QFY23.

 

Katanya, peningkatan tersebut disumbangkan pendapatan daripada aset hartanah baharu iaitu Pavilion Bukit Jalil yang diambil alih pada 1 Jun 2023.

 

"Pusat beli-belah sedia ada juga menyaksikan kadar sewaan yang tinggi dan pendapataan sewaan yang lebih tinggi," kata Kumpulan itu hari ini.

 

Setakat 31 Mac 2024, aset di bawah portfolio Pavillion Reit merangkumi Pavilion Kuala Lumpur Mall, Pavilion Tower, DA MEN Mall, Intermark Mall, Elite Pavilion Mall dan Pavilion Bukit Jalil.

 

Kata Kumpulan itu, pendapatan hartanah bersih juga lebih tinggi sebanyak RM33.9 million atau 33% pada 1Q2024 berbanding 1Q 2023.

 

Dalam pemakluman itu, Pavilion REIT berkata, cuaca panas yang dialami beberapa bulan lalu menyebabkan peningkatan bayaran utiliti yang merangkumi sebahagian daripada peningkatan perbelanjaan operasi sebanyak 52%.

 

Sementara itu mengenai prospek 2024, Pavillion REIT berkata, menurut Retail Group Malaysia, cabaran terbesar bagi industri runcit Malaysia pada 2024 ialah peningkatan kos sara hidup. 

 

"Disebabkan peningkatan dalam kos operasi hartanah, Pavilion REIT akan berusaha untuk menguruskan perbelanjaannya untuk mengoptimumkan kecekapan," jelasnya.- DagangNews.com