Pekebun kecil digalak ambil peluang mohon insentif tanam semula sawit | DagangNews Skip to main content

Pekebun kecil digalak ambil peluang mohon insentif tanam semula sawit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 April - Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan pekebun kecil mengambil peluang memohon Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0).

 

Kerajaan telah menaik taraf skim tersebut kepada skim geran padanan bagi memudahkan pembiayaan kewangan pekebun kecil melaksanakan usaha penanaman semula sawit.

 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, kerajaan telah menyediakan dana sebanyak RM100 juta untuk pelaksanaan TSPKS 2.0 bagi kerja-kerja penanaman semula sawit pada tahun ini.

 

“Saya menyeru pekebun kecil sawit untuk mengambil peluang bantuan yang disediakan bagi meningkatkan semula potensi pendapatan melalui tanaman semula pokok sawit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Krisis antarabangsa seperti pergolakan di Asia Barat dan Eropah Timur meningkatkan harga minyak mentah global serta menjejaskan pengeluaran minyak yang menyumbang kepada pengukuhan harga minyak sawit yang kini melebihi paras RM4,000 satu tan.

 

saiwt
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan Skim Insentif Ternakan dengan Sawit (ITe) kepada pekebun kecil daerah Telupid, Sabah pada 23 April 2024.

 

Pengusaha sawit yang telah melaksanakan penanaman semula pastinya menjangkakan pendapatan lumayan daripada penghasilan buah tandan segar (BTS) pada tahap produktiviti yang sedang memuncak.

 

Dalam pada itu, kerajaan juga menyediakan bantuan lain seperti Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) bagi ternakan unggas untuk memberi kapasiti serta menampung pendapatan pekebun kecil sawit sebagai galakan penanaman semula.

 

Beliau berkata, sehingga 31 Mac 2024, sejumlah 355 projek integrasi ternakan telah diluluskan di Sabah yang terdiri daripada 13 projek ternakan ayam dan empat projek ternakan itik di daerah Telupid.

 

Lebih 200 peserta program tersebut dalam kalangan pekebun kecil sawit telah diberikan pendedahan serta maklumat mengenai Skim TSPKS 2.0 dan Amalan Pertanian Baik (GAP) untuk memperkasakan daya saing serta kemahiran mengurus ladang sawit.

 

Semasa program tersebut, beliau menyampaikan lapan Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) serta 10 Sijil MSPO kepada pekebun kecil sawit di Telupid.

 

MPOB terus menyokong perkembangan pekebun kecil sawit yang merupakan tulang belakang kepada industri sawit negara. 

 

Pekebun kecil sawit boleh mendapatkan segala maklumat serta bimbingan berkaitan bantuan serta pengurusan ladang sawit daripada pegawai Tunas MPOB yang ditempatkan di Pejabat Tunas MPOB di seluruh negara. - DagangNews.com