Pelabur asing teruskan rentak belian bersih buat minggu keempat berturut-turut sebanyak RM130.5 juta - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing teruskan rentak belian bersih buat minggu keempat berturut-turut sebanyak RM130.5 juta - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pelabur asing meneruskan rentak belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-tururt pada kadar yang lebih sederhana iaitu iaitu sebanyak RM130.5 juta.

 

MIDF Research berkata, minggu lalu mencatatkan dagangan bercampur-campur dengna aliran masuk dicatatkan pada Isnin sebanyak RM280.9 juta dan Jumaat sebanyak RM42.3 juta manakala selebihnya pada minggu lalu menyaksikan aliran keluar.

 

Firma itu berkata, bermula Selasa hingga Khamis, pelabur asing telah menjadi penjual bersih sebanyak RM192.7 juta dengan melupuskan saham seperti Petronas Chemicals (RM46.6 juta), CIMB (RM33.5 juta) dan PPB (RM28.3 juta).

 

"Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih ialah Perkhidmatan Kewangan (RM116.7 juta), Utiliti (RM96.6 juta) dan Perladangan (RM81.1 juta).

 

"Sektor dengan aliran keluar bersih bagi minggu ini ialah Produk dan Perkhidmatan Pengguna (RM93.4 juta), Produk dan Perkhidmatan Perindustrian (RM65 juta) dan Telekomunikasi dan Media (RM33.4 juta).

 

"Sehingga kini, pelabur asing telah menjual bersih sebanyak RM2.93 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih ekuiti domestik untuk minggu keempat berturut-turut selepas mencatatkan jualan bersih RM122 juta minggu lepas.

 

Katanya, majoriti aliran keluar berlaku pada Isnin sebanyak RM255.4 juta dengan institusi tempatan kebanyakannya menjual bersih Maybank (RM50.6 juta), Tenaga (RM43.4 juta) dan Public Bank (RM24.6 juta).

 

"Setakat ini, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk berjumlah RM3 bilion.

 

"Seperti institusi tempatan, peruncit tempatan turut dijual bersih untuk minggu keempat berturut-turut pada kadar yang lebih rendah iaitu RM8.5 juta.

 

"Setakat ini, peruncit tempatan telah menjual bersih sebanyak RM76.4 juta," katanya.

 

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dengan pelabur runcit (16.8%), institusi tempatan (20.8%) dan pelabur asing (6.5%).- DagangNews.com