Pembaca meter TNB bertugas sejak PKP 2.0 : Sudah-sudahlah marah | DagangNews Skip to main content

Pembaca meter TNB bertugas sejak PKP 2.0 : Sudah-sudahlah marah

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

SETAHUN lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan, antara yang menjadi tempat melepaskan geram ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) setelah sebilangan pelanggan marah bila mendapati bil letrik mereka melambung-lambung.

 

Tambah menaikkan suhu badan bila disahkan pembaca meter TNB pun tidak bertugas semasa PKP 1.0 kerana tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara ketika itu.

 

Hari ini sejak PKP 2.0, pihak berkaitan sudah belajar daripada semua kekalutan PKP 1.0 supaya tidak lagi menjadi punching bag.

 

Walaupun boleh dikatakan rata-rata rakyat Malaysia sudah `terbiasa’ dengan PKP, ia tidak bermakna mood mereka kekal berada pada mood `biasa’.

 

Sebaliknya, semasa PKP ini ramai beralih kepada media sosial dalam masa yang begitu banyak ini, melayari satu demi satu posting yang cepat menarik mata dan pantas merentap perasaan terhadap isu yang sensitif di jiwa mereka.

 

Atas faktor yang sama orang ramai amat kecewa dengan isu golongan marhain cepat dikenakan tindakan bila terlanggar SOP tetapi golongan kayangan dilepas bebas walaupun melanggar SOP berulang-ulang kali, begitu kebal di sisi undang-undang.

 

merrepak

 

Itulah juga menjadi mulanya cetusan percikan api kemarahan orang bila mengenang balik hal bil letrik mahal pada tahun lepas. Sehinggakan yang bil tidak tinggi pun tumpang sekaki marah-marah. Bila disoal, selamba kata bil rumah dia Ok tapi yang marah kawan dia. Habis tu kenapa marah sama? Solidariti, katanya.

 

Ketahuilah bahawa kebenaran untuk pembaca meter TNB bertugas diberikan semasa PKP 2.0, seiring dengan kebenaran yang diberikan kepada sektor industri lain.

 

Mengelak daripada berulangnya rungutan rakyat, dalam tindakan proaktif semasa PKP 3.0 ini TNB mengumumkan bahawa pembacaan meter akan berjalan seperti biasa dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, bagi memastikan pengguna menerima bil sebenar dan bukan bil anggaran.

 

Faktanya ketika PKP 1.0, TNB mematuhi ketetapan Majlis Keselamatan Negara yang tidak membenarkan pembaca meternya bertugas demi mengelak penularan pandemik COVID-19.

 

Kemungkinan terkhilaf bil akan tetap berlaku kerana ia masih melibatkan faktor manusia dan mesin. Tetapi jika berlaku pun, bilangannya kecil dan wajar diselesaikan di Kedai Tenaga berbanding tular di media sosial.

 

Secara umumnya, semasa PKP penggunaan elektrik di kediaman pasti akan meningkat kerana kita semua berada di rumah tentunya akan menggunakan peralatan letrik, baik yang menggunakan meter analog, digital mahu pun meter pintar.

 

Tambah-tambah lagi sekarang cuaca pun panas, maka pendingin hawa dihidupkan. Kadang-kadang seawal 11 pagi kerana suhu panas di luar meresap bahangnya ke dalam rumah.

 

Ini menjadikan penggunaan penyaman udara secara lebih kerap dan bagi tempoh yang panjang. Selain itu, kompresor sistem penyejuk pada sebarang perkakas elektrik terpaksa bekerja lebih kuat dan perlu menggunakan tenaga dengan lebih banyak bagi mengekalkan paras suhu yang sejuk ketika cuaca panas.

 

Ada sahabat menggunakan kesempatan duduk di rumah menggunakan mesin vacuum sekeliling rumah, buat pertama kali. Punyalah seronok, atas bawah rumah kena vacuum. Sehingga semua kereta pun. Tetapi operasi mesin vacuum ini tidaklah mengakibatkan bil letrik terus melantun, melainkan dia buat setiap hari.

 

Bagi kediaman yang sudah bertukar kepada meter pintar, di sini anda kena beringat. Meter pintar ini menyukat penggunaan di rumah dengan tepat. Bermakna jika anda buat stand by mode pun, meter akan berjalan. Oleh itu, pastikan semua switched off.

 

TNB telah memasang lebih 1 juta meter pintar setakat ini iaitu 788,000 pemasangan melibatkan pengguna di Lembah Klang manakala 317,000 lagi di Melaka.

 

Pemasangan meter akan diperluaskan kepada kesemua 9.1 juta pengguna di Semenanjung Malaysia menjelang 2026.

 

merrepak

 

Tetapi secara umumnya jika anda boleh menerima hakikat bahawa `anda guna letrik, anda bayarlah penggunaannya’ maka kurang sedikit migraine anda.

 

Masalahnya, anda guna letrik tetapi tidak mahu bayar. Masih mengharapkan bayar sekadar RM100 tetapi guna tiga pendingin hawa serentak di rumah. Mentaliti ini perlu diubah.

 

​Namun dalam Merrepak hal bil letrik ini, tidak semua berkisar mengenai ‘kena bayar’ semata-mata, apatah lagi dalam era PKP 3.0 ini ramai tertekan kehidupan mereka.

 

Tepatlah pada masanya bila kerajaan mengumumkan bahawa TNB akan memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik di rumah yang tertunggak bil lebih 6 bulan sehingga 30 Jun 2021.

 

Pengguna domestik juga ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu menguruskan bil elektrik mereka.

 

Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

 

Bagi membantu pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, program Pelan Bayaran Mudah juga turut dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

 

Melalui pelaksanaan inisiatif ini, adalah dianggarkan seramai 6.96 juta pengguna domestik di Semenanjung memperoleh manfaat tersebut dan diharapkan inisiatif ini akan dapat membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini.

 

Tahun lalu, Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) tambahan diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia iaitu diskaun secara sekali bayar (one-off) sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020.
 

 

Berikut adalah petua mudah untuk mengurangkan bil elektrik :

  1. Tetapkan sistem pendingin hawa antara 24 hingga 26 darjah Celcius.
    Memang ada yang suka bilik sejuk macam peti ais simpan daging. Tidak salah. Bolehlah guna selimut atau comforter tebal. Barulah macam tidur di London. Boleh sahaja. Tetapi tanggunglah bil.

     merrepak
     
  2. Penjimatan juga dapat dinikmati menerusi penggunaan pemasa untuk menutup penyaman udara pada awal pagi, dari jam 2 pagi ke atas (ketika cuaca mulai sejuk) dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk dan pengedaran udara di dalam bilik.

     
  3. Senggaraan terhadap penyaman udara secara berkala pula dapat memastikan ia berfungsi dengan lebih efisien dan menjimatkan.

     
  4. Matikan lampu atau peralatan bukan elektrik lain bila tidak digunakan. Kenalah rajin bangun tutup suis, terutama selepas mengecas telefon.

     merrepak

     
  5. Tutup tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk, seterusnya membebankan pendingin hawa pada siang hari.

     
  6. Selain itu, elakkan daripada membuka pintu peti sejuk dengan kerap dan untuk tempoh yang lama.

     
  7. Pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baru dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Peralatan berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik.

     merrepak

     
  8. Pengguna juga boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah (Home Energy Calculator) di laman web myTNB www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-calculator

    Anggaran pengiraan ini adalah berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna. Kecekapan peralatan akan berkurangan semakin lama ia digunakan berikutan faktor usia.

     
  9. Pelanggan juga boleh memperoleh lebih penjimatan dalam bil elektrik mereka dengan menggantikan lampu biasa dengan lampu LED yang lebih cekap tenaga.

     
  10. Keringkan jemuran di bawah matahari, berbanding menggunakan pengering selepas mencuci pakaian.

     merrepak
     
  11. Setakat ini, lebih 4.8 juta akaun pengguna berdaftar telah menggunakan aplikasi myTNB atau https://www.mytnb.com.my/. Kombinasi aplikasi ini dan meter pintar membantu pengguna mengawal dan memantau penggunaan elektrik mereka.   - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Whiskey In The Jar oleh Metallica berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.