Pembangunan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera pasca pandemik perlu bermula dari sistem pendidikan | DagangNews Skip to main content

Pembangunan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera pasca pandemik perlu bermula dari sistem pendidikan

Oleh PROF DR ABDOL SAMAD NAWI

 

 

PEMBANGUNAN sosioekonomi Melayu dan Bumiputera tetap terletak pada kekuatan sistem pendidikan bangsa. Persoalannya adakah sistem pendidikan bangsa ini menzaman?

 

Ini merupakan persoalan paling besar Melayu dan Bumiputera sepatutnya memfokuskan pada masa kini.

 

Dan jawapannya pula perlu benar-benar datang melalui kajian yang telus, bukan kajian yang sekadar untuk melindungi diri atau mana-mana pihak yang ada kepentingan terutama kepentingan politik.

 

Berbalik kita pada formula Tun Abdul Razak, bangsa Melayu dan Bumiputera perlu dibangunkan dalam tiga teras utama Siasah (Politik), Ekonomi dan Pendidikan.

 

‘’Namun tumpuan utama adalah Pendidikan maka akan terjaga dan terbelalah yang dua lagi’’, ini adalah kata-kata Tun Abdul Razak yang kita buat masa kini  perlu sama-sama hayati. Ini adalah bidang Melayu dan Bumiputera dan peranan utama kita di universiti.

 

tun abdul razak
Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua Malaysia.

 

 

Penyertaan Melayu dan Bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) perlu bermula dari revolusi sistem Pendidikan.

 

Revolusi sistem pendidikan ini perlu bagi memastikan orang melayu dan bumiputera dapat membebaskan diri daripada cengkaman perangkap pendapatan kelas bawahan (B40).

 

Dengan penstrukturan semula sistem pendidikan bangsa melayu dan bumiputera perlu digerakkan penglibatannya dalam sektor ekonomi baharu yang menjadi tumpuan global dengan skop pertumbuhan yang tinggi dan penambahbaikan produktiviti perlu dijana melalui jati diri dan iltizam dari diri mereka sendiri.

 

Bagi merealisasikan hasrat ini, dasar Pendidikan bangsa Melayu dan Bumiputera memerlukan transformasi menyeluruh dari peringkat sekolah menengah sehingga ke IPT bagi menyokong usaha penglibatan orang Melayu dan Bumiputera dalam dasar industri berasaskan teknologi.

 

Ia dilaksanakan dengan membina konsep pemikiran baru berorientasikan misi menghadapi IR4.0 dan sosiati5.0 menerusi perbincangan dengan semua pemain industri mengenai isu-isu tertentu bagi merangka cabaran secara spesifik.

 

Menyediakan bantuan kewangan yang tidak mengharapkan pulangan jangka pendek, tetapi mencari penyelesaian ekonomi yang dapat memperluas sektor baharu serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan mewujudkan kesan limpahan berganda akan memberi kesan besar kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera.

 

Selain sektor Pendidikan bangsa Melayu dan Bumiputera juga perlu menekankan dasar penjagaan kesihatan yang seharusnya mampu memperkukuh dan memperkasa kerjasama antara pemain sektor kesihatan swasta dan awam, di mana RMK-12 menggariskan kaedah meningkatkan sumber daya bagi golongan profesional kesihatan mental dan rawatan kesihatan mental yang kian meningkat semasa pandemik.

 

 

rmk-12
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan RMK-12 di Parlimen pada 27 September 2021.

 

 

Ini adalah untuk memastikan masyarakat Melayu dan Bumiputera ini sentiasa sihat dari segi mental dan emosi dalam memacu perkembangan sektor ekonomi.

 

Perhatian dalam pendidikan sekali lagi memainkan peranan utama untuk mengupaya bangsa Melayu dan Bumiputera ini apabila semua kementerian perlu melaksanakan pendigitalan.

 

Pelan tindakan yang dibentangkan dalam RMK-12 di mana semua kementerian harus terlibat dalam inisiatif berkaitan pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0 perlu diberi penekanan utama dalam perubahan sistem Pendidikan kerana ini akan menjawab peratusan kadar guna tenaga bangsa Melayu dan Bumiputera yang boleh dihasilkan untuk mengupaya sektor-sektor ekonomi baharu ini.

 

Bidang-bidang pengajian baru di IPT yang mengadaptasi analisis data raya (BDA), internet kebendaan (IoT), dan kecerdasan buatan (AI) untuk setiap strategi pertumbuhan masyarakat Melayu dan Bumiputera harus diutamakan dan diberi nafas baharu.

 

 

rmk-12

 

 

Masyarakat Melayu dan Bumiputera tidak lagi boleh bergantung kepada bidang-bidang ekonomi tradisional kerana kerajaan perlu mengenal pasti sektor pertumbuhan ekonomi baharu kerana RMK-12 sepatutnya lebih terkehadapan dalam membincangkan trend mega atau tema utama bagi Malaysia dan rantau ini seperti geopolitik, pendigitalan dan populasi warga tua yang meningkat, seterusnya bagaimana negara dapat bersedia menghadapi perkembangan ini.

 

Tanpa penglibatan masyarakat Melayu dan Bumiputera dalam pertumbuhan ekonomi baharu akan memerangkapkan Melayu dan Bumiputera lebih lama dalam pendapatan kelas bawahan B40. – DagangNews.com

 

 

Prof Dr Abdol Samad Nawi adalah Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA