BELUM pun diterima, perolehan pesawat tempur FA-50 Block 20 Fighting Eagle Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mula dibandingkan dengan pesawat sama milik negara jiran, Filipina.
Ini kerana Malaysia menjadi negara kedua yang memilih pesawat FA-50 ke dalam inventori, cuma bezanya varian bakal dimiliki TUDM merupakan yang paling moden dan canggih.
Cuma pesawat FA-50 Block 20 TUDM adalah varian terkini daripada keluarga FA-50/T-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
Walaupun dalam kategori pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA/LIFT), FA-50 Block 20 Fighting Eagle ini masih mempunyai bisa sebagai pesawat tempur.
Ini kerana FA-50 Block 20 dilengkapi dengan pelbagai sistem dan kelengkapan bagi membolehkan ia beraksi umpama sebuah pesawat pejuang pelbagai peranan.
Antaranya dilengkapi dengan radar AESA, pengisian minyak di udara, Sniper Advanced Targeting Pods termasuk sistem persenjataan stand-off dan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR).
Kemampuan membawa peluru berpandu BVR seperti AIM-120 AMRAAM menjadikan keupayaan FA-50 Block 20 wajar digeruni.
Kebolehan pesawat mengisi minyak di udara membolehkan FA-50 Block 20 TUDM terbang lebih lama dan lebih jauh misalnya jika melakukan rondaan di kawasan perairan luas.
Ciri-ciri sebagai 'light fighter' ini dibangunkan oleh pengeluarnya sebagai opsyen kepada pengguna yang memerlukan sebuah pesawat tempur tetapi mempunyai bajet terhad.
Perolehan LCA/FLIT adalah bagi menggantikan pesawat-pesawat Hawk dan Aermacchi MB339CM TUDM seperti mana diumumkan empat tahun lalu.
Jadi, TUDM dilihat bijak apabila memilih pesawat seperti FA-50 Block 20 kerana mempunyai ciri-ciri yang cenderung dengan keperluan pertahanan negara.
Sebaliknya, varian FA-50 PH milik Tentera Udara Filipina yang dibeli pada tahun 2015 pula hanya berperanan sebagai pesawat tempur ringan tanpa ciri-ciri untuk melakukan pertempuran udara ke udara dan serangan maritim.
Tentera Udara Filipina memiliki 12 buah pesawat FA-50 dan dikatakan bercadang menambah jumlah itu dengan memilih varian Block 20 sebagaimana dimiliki oleh Malaysia.
Disebabkan kekurangan ini, maka pemerhati pertahanan dalam laman media sosial di Filipina menggesa negara itu memberi perhatian dengan meningkatkan perolehan aset agar lebih baik.
Mereka berpendapat, dengan perolehan FA-50 Block 20 TUDM, Malaysia mempunyai keupayaan lebih besar dan dibimbangi boleh mengancam wilayah perairan di sana.
Berkemungkinan sebahagian daripada skuadron FA-50 Block 20 ini nanti akan ditempatkan di Malaysia Timur, atau lebih tepat di Pangkalan Udara Labuan menggantikan pesawat-pesawat Hawk.
Hawk walaupun merupakan pesawat tempur ringan, tetapi telah memainkan peranan yang baik sebagai aset cegah rintang negara.
Dua tahun lalu, pesawat Hawk dari Pangkalan Udara Labuan berjaya memintas 16 pesawat pengangkut Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia.
Dengan rancangan Malaysia akan membeli 18 buah lagi pesawat FA-50 Block 20 pada masa akan datang, jumlah 36 buah pesawat ini nanti merupakan angka sangat besar yang tidak mampu ditandingi Filipina.
Sebenarnya, tanpa perlu membandingkan varian FA-50 milik Malaysia dan Filipina, negara itu jauh ketinggalan dalam aspek aset udara di rantau ini.
Inventori tentera udara Filipina paling ketinggalan manakala hampir 80 peratus perolehan baharu pula ditumpukan pada pembelian aset darat dan laut.
Tunjang kekuatan udara Filipina adalah pada 12 buah pesawat FA-50PH, enam buah pesawat Embraer A29B Super Tucano dan tujuh OV10 Bronco.
Super Tucano dan Bronco adalah pesawat berkipas yang fungsinya melakukan serangan ke darat dan bukannya pesawat tempur.
TUDM walaupun cuma mempunyai 38 buah pesawat tempur, tetapi variannya berganda lebih hebat jika hendak dibandingkan dengan Filipina.
18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM misalnya cukup untuk meletakkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara dengan aset udara terbaik di rantau ini.
Sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 tahun lagi Sukhoi Su-30MKM masih berbisa apabila dinaik taraf dengan pelbagai perkakasan baharu.
Dengan kemasukan 18 FA-50 Block 20 termasuk kemungkinan tambahan 18 perolehan baharu, paras kekuatan TUDM akan menjadi berkali-kali ganda kuat.
Sepertimana Malaysia, Filipina juga sebenarnya sedang bergelut untuk melaksanakan pemodenan aset-aset pertahanan setelah lebih 30 ketinggalan berbanding negara-negara serantau.
Disebabkan negara itu berhadapan dengan ancaman insurgensi sejak puluhan tahun, maka aset udaranya lebih difokuskan pada keperluan memerangi ancaman sedemikian.
Ketika ini Filipina masih berteka-teki untuk mendapatkan pesawat tempur terbaharu sama ada JAS-39 Gripen atau F-16 Block 50 dengan jumlah dianggarkan 12 buah.
Jika dibeli sekali pun, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk meletakkan tentera udara Filipina sebagai kuat di rantau ini.
Berbanding Malaysia, TUDM telah merancang untuk memodenkan angkatan itu pada penghujung tahun 80an apabila ancaman pengganas komunis berakhir.
Apabila memasuki tahun 90an, TUDM beralih pada pesawat tempur generasi keempat iaitu MiG-29N dan FA-18D Hornet.
Mengikut rancangan masa hadapan, TUDM memberi fokus untuk mendapatkan pesawat tempur generasi kelima dan sedang mengintai calon yang sesuai.
Kesimpulannya, isu negara mana lebih kuat atau mempunyai aset lebih baik tidak perlu timbul kerana keperluan perolehan setiap negara berbeza.
Dengan kedua-dua negara berhadapan dengan isu keselamatan di Laut China Selatan, semestinya fokus adalah untuk meningkatkan pengawasan serta perimeter negara masing-masing. - DagangNews.com