Pembuatan domestik dijangka lemah pada suku pertama 2023 akibat kekurangan permintaan - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pembuatan domestik dijangka lemah pada suku pertama 2023 akibat kekurangan permintaan - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kenanga Research menjangkakan pembuatan domestik lemah pada suku pertama 2023 akibat kekurangan permintaan luar selain keadaan ekonomi global yang perlahan.

 

Firma itu berkata, bagaimanapun, terdapat potensi bagi segmen eksport untuk pulih bagi jangka pendek berikutan berakhirnya musim perayaan di China.

 

Katanya, pertumbuhan segmen itu seharunya disokong oleh permintaan domestik yang teguh dirangsang oleh jangkaan peningkatan dalam ketibaan pelancong.

 

"Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia menunjukkan peningkatan sedikit pada Februari iaitu 48.4 daripada 46.5 pada Januari 2023, menunjukkan pemulihan dalam pengeluaran walaupun kekal dalam zon penguncupan.

 

"Pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia susut ke paras terendah 17 bulan pada Januari pada 1.8% daripada 2.8% yang dicatatkan pada Disember 2022 mengatasi unjuran 1.5% tetapi di bawah unjuran pasaran pada 2.6%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, penyederhanaan itu didorong oleh kelembapan dalam indeks pembuatan dan penguncupan yang lebih mendalam dalam indeks elektrik, yang mengatasi pengembangan yang lebih besar dalam keluaran perlombongan.

 

Firma itu berkata, penguncupan indeks elektrik bertambah buruk pada Januari pada 4.3% daripada 2.2% yang dicatatkan pada Disember 2022, jatuh ke paras terendah 17 bulan.

 

“Kami menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 kepada 4.7% daripada 4.3% berikutan jangkaan permintaan dalam negeri yang stabil, sokongan fiskal yang berterusan dan kesan daripada pembukaan semula China.

 

“Bagaimanapun, pertumbuhan pada suku pertama mungkin perlahan disebabkan keadaan ekonomi global selain permintaan luar yang lebih lemah.

 

"Risiko pertumbuhan keseluruhan kekal daripada konflik Rusia-Ukraine, hubungan China-Amerika yang lemah, dan kemungkinan kemelesetan dalam kalangan ekonomi utama," katanya. -DagangNews.com