KUALA LUMPUR 30 Ogos - Zhuhai CosMX Battery Co Ltd, pengeluar global bateri litium-ion pengguna dan bateri litium kuasa, merancang untuk melabur RM1 bilion bagi membina kilang pembuatan pertamanya di Kedah.
Projek itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan.
Kemudahan baharu di bawah Unimx Technology Malaysia Sdn. Bhd. akan dibangunkan dalam beberapa fasa di Taman Perindustrian Timur Kulim, dengan pecah tanah dijangka bermula pada suku terakhir 2024.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), pelaburan RM1 bilion menandakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan global syarikat ke arah meningkatkan keupayaan pembuatannya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam segmen bateri lithium-ion di seluruh dunia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan RM1 bilion Zhuhai CosMX jelas mengesahkan kedudukan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk syarikat berasaskan teknologi, tetapi juga sebagai negara yang serius terhadap pelaksanaan pantas komitmen pelabur.
Beliau berkata, pelaburan itu juga selari dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk meningkatkan kerumitan ekonomi industri negara, sambil membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan utama untuk Asean dan Asia.
"Mengubahkan teknologi bateri secara menyeluruh bukanlah tugas yang mudah, tetapi Mida akan menyokong dan memudahkan Zhuhai CosMX dalam perjalanan yang bercita-cita tinggi ini. Kepakaran termaju mereka akan memberi kesan yang besar pada ekosistem tempatan kita.
Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, sebagai rakan kongsi, mida komited untuk menyediakan Zhuhai ÇosMX dengan sokongan dan kemudahan yang mereka perlukan untuk projek itu berjaya, beliau juga yakin kehadiran mereka akan memberikan kesan positif kepada ekonomi dan rakyat.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Kedah Darul Aman), Dr Haim Hilman Abdullah berkata, Kulim East Industrial Park berpotensi menjadi hab baharu bagi pengeluaran simpanan tenaga di bahagian utara Malaysia.
"Pelaburan ini adalah bukti potensi ekonomi negeri dan keyakinan terhadap iklim pelaburan kita. Kami berharap pelaburan ini akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi, pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran, akhirnya memberi manfaat kepada tenaga kerja dan masyarakat kita," ujar beliau.- DagangNews.com