Penguatkuasaan di Hutan Simpan Batu Talam tiada kaitan dengan pihak Royale Pahang Durian | DagangNews Skip to main content

Penguatkuasaan di Hutan Simpan Batu Talam tiada kaitan dengan pihak Royale Pahang Durian

Hutan Simpan Batu Talam

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Perhutanan Pahang di ladang durian haram di Hutan Simpan Batu Talam tidak mempunyai kaitan dengan pihak Royale Pahang Durian (RPD).

 

Pihak pengurusan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) berkata, tindakan yang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Pahang terhadap ladang haram itu adalah operasi penguatkuasaan biasa yang melibatkan kawasan seluas 101 hektar di hutan simpan berkenaan.

 

Menurut RPDR-PKPP yang memetik kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberitahu, operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di dalam Hutan Simpan Batu Talam ialah tindakan bersepadu melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) dengan mendapat kerjasama pihak polis.

 

"Pada waktu yang sama, seperti yang telah dinyatakan oleh Menteri Besar, penguatkuasaan operasi dilakukan di luar kawasan kebun durian haram yang menjadi isu di peringkat mahkamah. 

 

"Kes tersebut melibatkan pekebun dan enam pihak lagi termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. Oleh itu, penguatkuasaan yang berlaku di Hutan Simpan Batu Talam tiada kaitan dengan pihak RPD," jelas RPDR-PKPP dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan sama, RPDR-PKPP memberitahu, pihaknya sentiasa mendapatkan kelulusan agensi negeri dan Persekutuan yang berkaitan dan tidak terhad kepada kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar sepanjang tempoh projek yang dilaksanakan oleh pihak RPD.

 

Sebagai sebuah organisasi, pihaknya percaya dan akan terus mematuhi undang-undang. 

 

"Pendekatan ini turut diguna pakai dalam projek pembangunan ladang durian kami yang berkeluasan 404 hektar di Pamah Lebar, Tras, Raub yang dijangka akan membuahkan hasil pada tahun 2023.

 

"Melihat pada situasi semasa dan segala fitnah serta tuduhan dan/atau sangkaan buruk yang dilemparkan terhadap pihak RPDR-PKPP oleh pihak-pihak tertentu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba memburuk-burukkan kami.

 

"Pihak RPD akan memberi penjelasan awam berkaitan syak wasangka yang timbul disebabkan oleh beberapa tuduhan palsu dan fitnah pada waktu yang sesuai kelak," tambah RPDR-PKPP lagi. - DagangNews.com