Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 9 Okt. - Pemberi hutang dan pajak AirAsia X Berhad mungkin tiada pilihan lain dan sebaliknya perlu menerima cadangan penstrukturan hutang syarikat penerbangan itu walaupun hanya memperoleh 2% daripada keseluruhan bayaran pinjaman.
Sekiranya mereka tidak bersetuju, Air Asia X mungkin dibubarkan (liquidation) dan pemiutang tidak bercagar tidak akan memperoleh sebarang bayaran balik, kata CGS-CIMB Research.
Pemberi pajak pesawat terutamanya, mungkin bergelut untuk menawarkan pesawat mereka ke syarikat penerbangan lain ketika pandemik COVID-19.
“Dengan andaian AirAsia X dibubarkan pada 30 Jun, kami menganggarkan aset yang boleh diperolehi mampu menampung 2% hingga 3% daripada liabiliti tidak bercagar.
“Tetapi, AirAsia X mungkin kehabisan tunai pada hujung tahun ini dan proses dibubarkan mengambil masa dan kos tinggi. Ketika proses pembubaran itu selesai, pemberi pinjaman tidak bercagar mungkin tidak mendapat apa-apa.
Baca : CGS-CIMB jangka AirAsia X tidak bertahan lama kecuali ada suntikan modal
“Oleh itu, pemotongan sehingga 98% pinjaman adalah adil dan berpatutan, bagi pandangan kami. Kami percaya ada kemungkinan tinggi pemberi pinjaman tidak bercagar tidak mempunyai pilihan lebih baik selain bersetuju dengan terma cadangan penstrukturan hutang itu,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Pada 6 Oktober lalu, AirAsia X mencadangkan skim penstrukturan hutang di mana RM9,226 juta pinjaman tidak bercagar setakat 30 Jun akan dikurangkan kepada RM200 juta, merangkumi 98% pemotongan.
Jumlah hutang RM200 juta itu dicadangkan untuk dilunaskan dalam tiga ansuran yang sama masing-masing sebanyak RM66.7 juta pada ulang tahun ke-3, ke-4 dan ke-5 cadangan penstrukturan semula hutang, ditambah 2% faedah setiap tahun.
Baca : Tuntutan mahkamah RM95.43 juta 'tambah tekanan' AirAsia X
Dalam pada itu, AirAsia X juga meminta pembekal pesawat untuk memansuhkan tuntutan terhadap tambahan RM54.3 bilion melibatkan komitmen pembelian pesawat dari Airbus termasuk anggaran pampasan atau denda yang timbul dari penamatan awal kontrak.
Selain itu, AirAsia X juga mencadangkan untuk melaksanakan pengurangan modal saham sebanyak 90% dan pelaksanaan penggabungan saham 10 untuk 1.
Semua cadangan itu dijangka diselesaikan pada suku pertama 2021, menurut AirAsia X.
Baca : Saham AirAsia X susut 10%, pelan penstrukturan 'suram'
“Walau bagaimanapun, memandangkan pembayaran 2% sangat rendah, dan kelulusan pemiutang 75% adalah tinggi, cadangan itu mungkin tidak berjaya memperoleh undian.
“Dalam perkembangan lain, AirAsia X menyatakan sedang merancang untuk meraih RM500 juta dalam pinjaman dan ekuiti baharu, bagaimanapun tiada perincian didedahkan.
“Kami percaya tiada bank mahupun pemegang saham (sedia ada atau berpotensi) berminat untuk menyuntik hutang atau modal ekuiti lebih sehingga AirAsia X membuktikan kestabilan perniagaan dan menangani saiz hutangnya,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com