KUALA LUMPUR 17 Julai - Maybank Invetsment Bank (Maybank IB) positif terhadap penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) di Iskandar Malaysia dan dijangka memacu peningkatan permintaan hartanah di negeri itu.
Firma itu berkata, penubuhan zon ekonomi itu juga akan mencipta lebih banyak peluang dan aktiviti komersial di kawasan itu.
Firma itu juga berkata, Jawatankuasa Bersama Menteri Malaysia-Singapura bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) telah bersetuju untuk mengkaji penubuhan JSSEZ bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kesalinghubungan dan kerjasama ekonomi untuk faedah bersama kedua-dua negara.
Katanya, JSSEZ akan membina asas yang ditetapkan oleh pelbagai kumpulan kerja untuk memacu pertumbuhan yang mampan, membangunkan modal insan dan menambah baik infrastruktur dan ketersambungan.
"Kami positif dengan perkembangan itu yang dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pelaburan dari Singapura.
"Ia berkemungkinan memacu permintaan untuk kedua-dua hartanah kediaman dan komersial kerana penduduk yang lebih tinggi akan memerlukan perumahan.
"Selain itu, ia boleh membantu mengurangkan kediaman yang tidak terjual terutamanya dalam segmen kediaman bertingkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, antara penerima manfaat daripada rancangan itu termasuk UEM Sunrise Berhad, Sunway Holdings Berhad, Eastern & Oriental Berhad, Eco World Development Group Berhad dan AME Elite Consortium Berhad.
Terdahulu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji penubuhan zon ekonomi khas Johor-Singapura.
Pasukan petugas khas itu akan melaporkan perkembangannya kepada para pemimpin apabila mereka bertemu di Mesyuarat Pemimpin Malaysia-Singapura pada Oktober tahun ini. - DagangNews.com