KUALA LUMPUR 20 Julai - Pendapatan adex pada separuh pertama tahun ini merekodkan penurunan sebanyak 2.4% dari tahun ke tahun kepada RM3.1 bilion dengan segmen akhbar menjadi penyumbang utama kepada penyusutan prestasi semasa
Kenanga Research berkata, penyusutan itu mencerminkan kelemahan sentimen pengguna selain kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang melemahkan kuasa membeli.
"Adex segmen akhbar mencatatkan penurunan sebanyak 17% dari tahun ke tahun tetapi ia kurang daripada andaian tahun penuh kami sebanyak 1%.
"Keadaan itu berikutan penurunan mendadak di Harian Metro (-42% dari tahun ke tahun), New Straits Times (-20% dari tahun ke tahun) dan The Star (-11% dari tahun ke tahun)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, bahagian pasaran akhbar kini telah menyusut kepada 13.7% pada separuh pertama tahun ini berbanding 16.1% setahun yang lalu.
Keadaan itu katanya diterjemahkan kepada hampir separuh daripada bahagian pasarannya sebanyak 26.6% pada separuh pertama 2020.
"Penyusutan itu disokong kebimbangan pengiklan bahawa edaran akhbar semakin berkurangan akibat kenaikan harga jualan.
"Peneraju pasaran, The Star, menaikkan harga salinan fizikalnya sebanyak 50% pada April 2023. Bagaimanapun, harga untuk akhbar digital Star kekal sebagai status quo," katanya.
Firma itu berkata, pada tahap yang lebih kecil, penurunan pada separuh pertama tahun ini diburukkan lagi oleh penyusutan dalam segmen TV (-0.5%) dan radio (-2%) - yang juga kurang daripada andaian pertumbuhan 2023 masing-masing sebanyak 0.6% dan 2%.
Firma itu menjangkakan, adex pada suku ketiga akan menjadi lemah akibat kekurangan sambutan perayaan dan acara sukan utama, pada masa sama, pengiklan akan lebih fokus berbelanja pada musim perayaan akhir tahun.
"Dalam jangka masa pendek hingga sederhana, kami menjangkakan perbelanjaan adex akan kekal lemah apabila masalah makroekonomi berterusan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu kesan daripada tekanan ekonomi. - DagangNews.com