KUALA LUMPUR 13 Julai - MIDF Research mengekalkan unjuran ringgit mencecah paras RM4.20 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu adalah kesan daripada penurunan kadar inflasi di AS dan menjangkakan nilai ringgit meningkat secara beransur-ansur pada separuh kedua 2023.
Katanya, inflasi pengguna AS menurun kepada 3% dari tahun ke tahun pada Jun 2023, paras terendah sejak Mac 2021, dan lebih rendah daripada 3.1% yang dijangkakan.
"Inflasi yang semakin berkurangan, antara lain, disebabkan oleh kesan asas tinggi, pasaran tenaga kerja yang lebih lemah dan kesan negatif pengetatan agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Nilai ringgit terus melonjak berbanding dolar AS apabila mata wang negara maju itu menyusut disebabkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Jun 2023 yang lebih rendah daripada jangkaan.
Mengenai data pengeluaran perindustrian India untuk Mei 2023, firma itu berkata, perkembangan positif negara itu dalam aktiviti perindustrian mungkin memberi manfaat kepada eksport produk minyak sawit Malaysia.
Pengeluaran perindustrian India bertambah baik sebanyak 5.2% dari tahun ke tahun pada Mei 2023 berbanding 4.5% bulan sebelumnya, mengatasi jangkaan pasaran sebanyak 4.8% dan pertumbuhan itu menandakan paras tertinggi dalam tiga bulan.
Firma penyelidikan itu berkata India menempah 18.8% daripada penghantaran keluar minyak sawit Malaysia pada Mei tahun ini. - DagangNews.com