Penyusunan semula bantu Capital A keluar daripada status PN17 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Penyusunan semula bantu Capital A keluar daripada status PN17 - MIDF Research

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 April - Cadangan penyusunan semula Capital A Berhad yang diumumkan semalam dijangka dapat membantu Kumpulan itu dalam peralihannya daripada status PN17.

 

MIDF Research berkata, cadangan pelupusan saham dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) itu secara ringkasnya akan mengoptimumkan operasi perniagaan dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan penerbangan dan segmen digital yang akan digerakkan bersama bagi meningkatkan perniagaan syarikat.

 

"Tindakan korporat yang dicadangkan akan membantu Kumpulan dalam peralihannya daripada status PN17, dengan tarikh akhir 20 Jun 2024 untuk menyerahkan pelan itu kepada Bursa Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, terdapat petunjuk bahawa rancangan untuk menyenaraikan pengurus jenama AirAsia melalui syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC) tersenarai Nasdaq mungkin dibatalkan.

 

Kata MIDF Research, berdasarkan taklimat pengurusan semalam, perkara itu dilihat sudah tidak lagi diperlukan.

 

"Tiada pelarasan telah dibuat pada anggaran pendapatan setakat ini kerana tindakan korporat tersebut tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Capital A jual saham AirAsia Aviation Group, AirAsia bernilai RM6.8 bilion

 

ARTIKEL BERKAITAN: Capital A International akan disenaraikan di Pasaran Saham AS, disambut positif oleh pakar industri

 

Capital A Bhd memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan AirAsia Group Sdn Bhd (AAG) untuk melupuskan 100 peratus kepentingan ekuitinya dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) sebanyak RM6.8 bilion.

 

Kumpulan itu memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan AAG untuk melupuskan AAAGL sebanyak RM3 bilion dan pelupusan AAB sebanyak RM3.8 bilion.

 

AAAGL dan AAB ialah anak syarikat milik penuh Capital A.

 

Menurut cadangan penyusunan semula dalaman AirAsia X Bhd (AAX), AAG akan mengambil alih status penyenaraian AAX sebelum selesai cadangan pelupusan.

 

Menurut MIDF Research, langkah pelupusan dan pemerolehan ini dijangka selesai pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) dengan pelan penyusunan semula dijangka dimuktamadkan pada 1QFY25.

 

"Kami mengekalkan pendirian NEUTRAL kami pada saham dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM0.74 (berdasarkan FY24F EPS), kerana ia kini didagangkan pada purata pra-pandemiknya.

 

"Pemacu utama untuk potensi pertumbuhan pendapatan mungkin melibatkan pemulihan jaringan destinasi dan kapasitinya yang dipercepatkan ke tahap pra-pandemik," ujarnya.- DagangNews.com