Pepper Labs pertingkatkan pemerkasaan perusahaan sosial dengan inisiatif pembinaan kapasiti yang lebih meluas | DagangNews Skip to main content

Pepper Labs pertingkatkan pemerkasaan perusahaan sosial dengan inisiatif pembinaan kapasiti yang lebih meluas

 

 

PEPPER LABS, sebuah perusahaan sosial bertauliah yang memperkasakan masyarakat terpinggir, sedang mengembangkan program pembinaan kapasitinya bagi menyokong inisiatif keusahawanan lestari dan transformasi digital.

 

Susulan kejayaan pelancaran kohort sulung program Micro-Entrepreneurship and Digital Empowerment pada  September 2021 dengan kohort penuh 80 peserta, dan kohort pertama Youth Development & Gig Economy  pada 2 Oktober 2021 dengan kohort penuh 20 peserta, Pepper Labs kini mengalu-alukan pendaftaran kohort seterusnya yang akan bermula pada Disember 2021 dengan 200 peserta lagi.

 

Pada masa sama, Pepper Labs turut mengalu-alukan peluang kerjasama untuk program akan datang.

 

Sentiasa memberi tumpuan terhadap pembangunan kapasiti akar umbi, Pepper Labs dikenali kerana penglibatannya dalam Masala Wheels, sebuah perusahaan sosial yang diasaskan bagi membantu dan memperkasakan masyarakat terpinggir menerusi pembinaan kapasiti dan penyediaan peluang pekerjaan dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B), dengan tumpuan utama terhadap golongan belia berisiko.

 

Dari situ, Pepper Labs telah berkembang menjadi sebuah infrastruktur sokongan yang menyeluruh untuk benefisiari menerusi pemerkasaan digital dan ekonomi.

 

Susulan kejayaan Masala Wheels, Pepper Labs memutuskan untuk menyerahkan operasi dan hak milik perusahaan tersebut sepenuhnya kepada sebuah pasukan yang terdiri daripada benefisiari asal pada Ogos 2021 – satu sambutan kemerdekaan yang penuh bermakna sempena dengan Hari Merdeka dan pencapaian cemerlang.

 

Penyerahan penuh perusahaan restoran itu kepada kumpulan benefisiari berkenaan adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia telah menjadi contoh kepada pemerkasaan ekonomi sepenuhnya.

 

Dalam tempoh terdekat, Pepper Labs menyasarkan untuk membantu menubuhkan tiga lagi perusahaan yang mana ia kemudiannya akan diserahkan kepada benefisiari yang berkenaan.


 

pepper

 


Pada Oktober lalu, Pepper Labs telah menubuhkan tiga cloud kitchen dan telah mengenal pasti beberapa graduan kulinari yang tiada pekerjaan sebagai benefisiari untuk mengendalikan perusahaan tersebut, dan akhirnya akan mengambil alih operasi dan pemilikan perusahaan itu sepenuhnya dalam tempoh enam bulan.

 

Pepper Labs memegang status Social Enterprise Accreditation (SE.A) Plus daripada program persijilan kebangsaan anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang mengiktiraf perusahaan sosial yang sah.

 

Persijilan itu mencerminkan impak sosialnya, peruntukan sumber dan operasi yang adil serta kemapanan kewangan, selain daripada membenarkan pengecualian cukai untuk derma. 

 

Pengarah Pepper Labs Sdn Bhd, Dinesh Pandian berkata, di Pepper Labs, pihaknya percaya terhadap keperluan menggabungkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menambah baik taraf kehidupan anggota masyarakat di sekeliling, terutamanya golongan yang terpinggir.

 

‘’Kami yakin bahawa pembinaan kapasiti boleh digunakan bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan dan mencipta pemerkasaan digital dan ekonomi yang mapan untuk pertumbuhan inklusif.

 

‘’Dengan menawarkan peluang untuk meningkatkan kemahiran yang akhirnya akan mencipta masa depan yang lebih baik, kami berharap untuk memulakan dan mengulangi semula proses ini yang akan memberikan kesejahteraan kepada lebih ramai lagi orang,” kata beliau.

 

Pepper Labs amat bangga melihat bagaimana bekas benefisiari Masala Wheels telah berjaya membangunkan diri mereka sendiri.

 

‘’Dan disebabkan itulah kami mahu mengembangkan lagi cara bagaimana kami boleh memberikan impak positif. Sememangnya terdapat ramai orang yang berfikiran seperti kami di luar sana, yang mahu mencipta perubahan positif, dan kami mengalu-alukan mereka untuk menghubungi kami untuk menjalinkan kerjasama dan kolaborasi.

 

‘’Kami berpegang teguh kepada prinsip bahawa ‘Perubahan bermula pada hari ini dan ia bermula dengan kita semua’, oleh itu kami ingin menjemput semua orang untuk menyertai misi kami,” tambah beliau lagi.


 

pepper

 


Pembinaan Kapasiti Serampang Dua Mata

Program pembinaan kapasiti Pepper Labs memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu Keusahawanan Mikro dan Pemerkasaan Digital, Pembangunan Belia dan Ekonomi Gig, dan Keusahawanan Sosial & Perundingan Polisi.

 

Untuk Keusahawanan Mikro dan Pemerkasaan Digital, Pepper Labs menjalankan program yang memberi tumpuan terhadap pendigitalan perusahaan mikro baru atau yang sedia ada menerusi latihan keusahawanan dan bimbingan digital, termasuk latihan mengenai pengurusan logistik, e-dagang dan sistem pembayaran.

 

Dengan latihan dijalankan mengikut kohort, pendaftaran untuk sesi yang akan datang kini sedang dibuka hingga 30 November 2021 di usahawan.digitalsocial.my, manakala para pelatih untuk kohor seterusnya akan bermula pada Disember.

 

Setiap kohort akan dilatih dan dibimbing selama 1 hingga ke 3 bulan bergantung kepada kapasiti mereka.

 

Untuk Pembangunan Belia dan Ekonomi Gig, Pepper Labs menjalankan satu program pemimpin perubahan bagi membentuk generasi usahawan sosial dan duta digital yang baru, di mana para belia menerima latihan mengenai pemerkasaan kerjaya ekonomi Gig dan pewujudan perusahaan sosial.

 

Kohort yang akan datang kini sedang dibuka untuk pendaftaran sehingga 30 November di belia.digitalsocial.my, dan dijangka akan bermula pada Disember. Setiap kohort akan dilatih dan dibimbing selama 1 hingga ke 3 bulan bergantung kepada kapasiti mereka.


 

pepper

 


Sementara itu, Pepper Labs sedang berusaha untuk melancarkan Program Teknologi Sosial & IR4.0 Accelerator, dan mengalu-alukan penyertaan rakan penaja dan penganjur bersama.

 

Untuk Perundingan Polisi Sosioekonomi & Penilaian Impak, Pepper Labs terus menawarkan input dasar ke arah membentuk ruang keusahawanan sosial di Malaysia menerusi cadangan, garis panduan dan peruntukan belanjawan, melalui peranannya sebagai Pengerusi yang mewakili Malaysia dalam Malaysian Chapter of Catalyst 2030 – sebuah gerakan perusahaan sosial dan inovator sosial di peringkat global.

 

Di dalam Teknologi Sosial & IR4.0 Accelerator, Pepper Labs menyasarkan untuk terus mengembangkan cloud kitchen yang dipacu oleh teknologi bagi memberikan kemudahan dan sokongan yang diperlukan oleh usahawan mikro F&B untuk mengembangkan perniagaan mereka dan sedang mencari graduan kulinari yang tiada pekerjaan untuk mendaftar sebelum 31 Disember 2021 di usahawan.digitalsocial.my.

 

 

Organisasi dan individu yang berhasrat untuk menerokai potensi kerjasama dan penajaan dengan Pepper Labs boleh menghubungi Gevitha di info@digitalsocial.my

 

Kunjungi www.pepperlabs.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarikat Pepper Labs. – DagangNews.com