Perak SADC, BoomGrow setuju rintis kerjasama dalam bidang sistem pertanian pintar | DagangNews Skip to main content

Perak SADC, BoomGrow setuju rintis kerjasama dalam bidang sistem pertanian pintar

Petugas BoomGrow memeriksa tanaman yang diusahakan secara pertanian pintar.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 5 Jun - Inisiatif kerajaan negeri Perak untuk memperkasa sektor pengeluaran makanan khususnya dalam bidang pertanian moden dirintis menerusi lawatan kerja ke syarikat BoomGrow Sdn. Bhd. di Shah Alam, Selangor.

 

BoomGrow adalah sebuah syarikat agriteknologi yang membangunkan sistem pertanian pintar ‘Indoor Precision Farming’ di Malaysia dengan mengembangkan sistem rangkaian kultivar di ladang pertanian pintar.

 

Syarikat itu mengusahakan lebih 250 jenis tanaman untuk pasaran tempatan terutamanya di hotel 5 bintang dan restoran premium. 

 

Perak SADC dalam kenyataan memaklumkan, dalam sesi perbincangan yang diadakan, syarikat BoomGrow turut menyatakan minat untuk meneroka kerjasama jangka panjang dengan kerajaan negeri Perak melalui Perak SADC.

 

Perak
Saarani bersama delegasi Perak SADC semasa melawat ke syarikat BoomGrow di Shah Alam, Selangor.

 

Ia bertujuan meletakkan Perak sebagai peneraju dalam bidang agriteknologi yang berkembang pesat di Malaysia.

 

“Matlamat tersebut selaras dengan agenda kerajaan negeri dalam menangani isu keterjaminan makanan.

 

“Usahasama ini nanti bakal mencipta peluang pekerjaan agriteknologi untuk golongan muda di negeri Perak,” ujar kenyataan itu.

 

Pihak BoomGrow juga mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pertanian dalam pensijilan MyGAP dan Kementerian Kesihatan bagi pensijilan MyFoodTag dalam menghasilkan tanaman yang bebas sepenuhnya daripada sebarang bahan kimia berbahaya.

 

BoomGrow menggunakan sistem teknologi proprietari untuk menanam kultivar-kultivar.

 

Perak
BoomGrow membekalkan tanaman yang diusahakan secara pintar bagi pasaran hotel lima bintang dan restoran premium.

 

 

Perak

 

 

Lazimnya ia diimport dari pelbagai negara asing yang kini dibekalkan secara ‘hyper-local’ kepada pasaran tempatan dan bakal dipasarkan ke luar negara khususnya negara Asia Tenggara.

 

Terdahulu, delegasi pengurusan kanan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) telah mengadakan lawatan ke syarikat BoomGrow bagi melihat secara dekat teknologi pertanian yang dibangunkan syarikat tersebut.

 

Delegasi diketuai Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi SADC bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Dato’ Yahanis Yahya.- DagangNews.com