KUALA LUMPUR 10 Ogos - Perdana Petroleum Berhad berjaya meraih tempahan kerja bernilai RM38.2 juta daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi membekalkan tiga unit kapal tunda dan bekalan kendalian sauh (AHTS).
Penyedia perkhidmatan marin luar pesisir itu menerusi anak syarikatnya, Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB) telah menerima dua arahan kerja untuk penyediaan dua unit kapal AHTS di Sarawak.
Kumpulan itu berkata, kedua-dua projek itu diterima pada 5 dan 18 April lalu.
"Kontrak pertama bernilai RM10.2 juta, bermula pada 10 Mei dan adalah untuk tempoh sehingga 203 hari, dengan pilihan untuk lanjutan sehingga 203 hari lagi.
"Kontrak kedua bernilai RM11.7 juta, bermula pada 5 Jun. Ia adalah untuk tempoh 223 hari dengan pilihan untuk lanjutan selama 223 hari," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Dalam makluman berasingan, Perdana Petroleum berkata, PNSB telah menerima pindaan perintah kerja dan lanjutan bagi satu unit kapal AHTS di Sabah pada 20 April 2023.
Lanjutan kontrak yang bermula pada 29 April, bernilai RM16.3 juta untuk pindaan tempoh lanjutan piagam tanpa pilihan.
Di bawah lanjutan itu, terdapat pindaan kepada tempoh lanjutan daripada kontrak asal sehingga 292 hari kepada 226 hari, dengan pilihan untuk dilanjutkan selama 60 hari. Ini adalah pindaan kedua kepada tempoh lanjutan dan arahan kerja asal mula diterima pada 7 Mac tahun lalu. - DagangNews.com