KUALA LUMPUR 2 Nov - Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan demikian pada majlis pengumuman calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) PN di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam tadi.
Menjelaskan agihan kerusi Parlimen, beliau berkata, BERSATU bertanding 74 kerusi, PAS (64), GERAKAN (20), dan Bersekutu (11).
Bagi kawasan DUN, katanya, PAS bertanding di 57 kerusi, GERAKAN (14), BERSATU (41) dan Bersekutu (empat).
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata calon PN untuk PRU15 di Kelantan dan Terengganu tidak akan diumumkan malam tadi, sebaliknya pada satu tarikh lain.
Dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah penyelamat negara ketika berdepan dengan krisis pandemik COVID-19, dan bukannya pengkhianat seperti yang dicanang oleh musuh politik.
Muhyiddin berkata, ekonomi negara kini tidak runtuh kerana kepimpinannya selaku perdana menteri ketika itu telah mengambil beberapa tindakan berani dan berkesan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terbela termasuk membuka semula sektor ekonomi demi mengelakkan negara berdepan krisis lebih buruk.
“Kita bukan pengkhianat kepada bangsa agama dan negara, kita penyelamat negara tercinta kita,” katanya.
Oleh itu katanya, adalah penting untuk rakyat terus memberi mandat kepada PN pada PRU15, 19 November ini agar PN boleh kembali mentadbir negara untuk tempoh lima tahun.
“Lebih penting kerajaan yang dibentuk menerusi sokongan rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan dapat pikul satu tugas beban yang besar.
"Persoalannya siapa parti yang dapat pikul amanah itu, jawapannya tidak lain tidak bukan iaitu PN.
"“Bukan nak masuk bakul angkat sendiri, malah ini bukan juga hanya perkataan tetapi tindakan secara berkesan kita telah buktikan untuk bela rakyat,” katanya. - DagangNews.com