KUALA LUMPUR 13 Ogos - Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) melaporkan permintaan setiausaha syarikat bertauliah dan profesional tadbir urus kini semakin meningkat dalam kalangan perusahaan di Malaysia.
MAICSA berkata, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Bank Dunia pada 2022 dan data terkini daripada Statistik Daftar Perniagaan Malaysia (DOSM, 2020), Malaysia mempunyai kira-kira 1.15 juta perusahaan.
"Daripada jumlah ini, 78.4% adalah perusahaan mikro, manakala 21.6% diklasifikasikan sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, mewakili 97.2% daripada jumlah perusahaan yang menyumbang 38.2% kepada KDNK negara, dan menyediakan pekerjaan kepada 7.3 juta orang.
"Peranan mereka dalam sektor ekonomi adalah penting bagi perniagaan-perniagaan ini untuk melantik setiausaha syarikat bertauliah dan profesional tadbir urus yang mahir dalam memastikan pertumbuhan pendapatan yang berterusan dan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang digariskan," ulasnya dalam kenyataan hari ini.
Institut itu berkata, keperluan tadbir urus korporat yang kini semakin meningkat didiorong oleh pertumbuhan pendaftaran syarikat baharu, terutamanya semasa era pasca pandemik.
"Seiring dengan perkembangan dan evolusi perniagaan dalam pelbagai sektor, termasuk “startup” dalam bidang teknologi dan institusi-institusi kewangan yang sedia ada, masyarakat semakin menyedari peranan penting setiausaha syarikat dalam memastikan ketelusan, pematuhan peraturan, dan kecekapan organisasi.
"Selain itu, penekanan yang semakin meningkat pada rangka kerja Alam sekitar, Sosial dan Tadbir urus (ESG) telah menambahkan lagi permintaan profesional tadbir urus yang mampu mengemudi keperluan ini dengan cekap.
"Walaupun adanya peningkatan dalam keperluan untuk perkhidmatan khusus ini, masih terdapat kekurangan dari segi bilangan setiausaha syarikat yang bertauliah yang mampu memenuhi permintaan," ulasnya.
Sementara itu, Datuk Akbar Moidunny telah dilantik sebagai Presiden MAICSA yang ke-29.
Dalam ucapannya, beliau menekankan komitmen institut itu dalam pembangunan professional terutamnya untuk memenuhi keperluan itu.
"Kami menawarkan program-program yang selaras dengan perkembangan semasa, memperjuangkan tadbir urus yang baik dan amalan etika di pelbagai sektor, serta meningkatkan penglibatan ahlinya dengan memberikan sokongan kukuh kepada mereka," ujar beliau.- DagangNews.com