Pernas rangkul anugerah 'Pembangunan Francais Agensi Kerajaan Antarabangsa Terbaik' di Gulf Franchise Expo 2024 | DagangNews Skip to main content

Pernas rangkul anugerah 'Pembangunan Francais Agensi Kerajaan Antarabangsa Terbaik' di Gulf Franchise Expo 2024

Anugerah tersebut disampaikan kepada Datuk Seri Suriani Ahmad (tengah) oleh Pengarah Kumpulan Media Perniagaan Arab, Khaleed Almeena (kanan). Turut kelihatan, Ketua Pegawai Operasi Pernas, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah (kiri).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima anugerah 'Pembangunan Francais Agensi Kerajaan Antarabangsa Terbaik' di Gulf Franchise Expo 2024 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

 

Pernas memaklumkan, anugerah itu disampaikan kepada Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Pernas yang cemerlang dalam pembangunan francais.

 

Katanya, pemilihan anugerah itu dilaksanakan barisan juri yang terdiri daripada wakil-wakil Kumpulan Media Perniagaan Arab dan Persatuan Francais Antarabangsa WFA.

 

"2024 merupakan tahun ketiga penganjuran Gulf Franchise Expo oleh Arab Business Media Group', kumpulan konglomerat media yang berpengaruh di negara-negara UAE dan Arab Saudi. Kumpulan itu diketuai dan dipimpin Khaled Almaeena, yang juga menyampaikan anugerah berkenaan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sementara itu, Suriani berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah tersebut.

 

Katanya, ia merupakan bukti kepada kerja keras dan komitmen seluruh pasukan Pernas dengan sokongan dan bimbingan KUSKOP dalam mempromosikan pembangunan francais serta mendorong pertumbuhan ekonomi.

 

"Kami berharap untuk terus berusaha menyokong industri francais pada masa akan datang," katanya.

 

 

pernas

 

 

Menurut kenyataan itu, Gulf Franchise Expo berlangsung di Le Royal Meridian, Abu Dhabi, menampilkan lebih 100 jenama francais dari 20 negara dan menawarkan platform unik rangkaian dan kerjasama dalam industri francais.

 

Katanya, dikenali dengan siri persidangan eksklusifnya, pertemuan bersemuka sesama pelabur dan Anugerah Francais Arab, yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam francais di dalam pelbagai kategori.

 

Expo tersebut berfungsi sebagai pemangkin pertumbuhan dan inovasi dalam industri francais di rantau teluk, katanya. - DagangNews.com