Persatuan bank guna pakai teknologi baharu lindungi pelanggan daripada scammer | DagangNews Skip to main content

Persatuan bank guna pakai teknologi baharu lindungi pelanggan daripada scammer

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Ahli Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) melaksanakan teknologi perlindungan perisian  pada aplikasi mudah alih mereka sekali gus melindung pelanggan daripada menjadi mangsa penipuan.

 

Teknologi baharu itu merupakan langkah keselamatan pencegahan dalam aplikasi perbankan mudah alih bank.

 

Menurut ABM dan AIBIM, ia mempunyai keupayaan untuk mengesan aplikasi berniat jahat atau fungsi yang mencurigakan dengan bertindak sebagai pengawal digital yang berwaspada serta memberi amaran atau menghentikan pelanggan daripada melakukan aktiviti perbankan pada peranti yang terjejas.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed menggesakan peningkatan apl perbankan dalam talian mereka dengan teknologi perlindungan perisian  untuk membendung penipuan berkaitan perisian bagi mewujudkan persekitaran perbankan yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia.


“Kami juga menggesa orang ramai untuk terus berwaspada terhadap permintaan untuk memuat turun aplikasi daripada sumber tidak rasmi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia, Datuk Khairussaleh Ramli pula berkata, pelaksanaan teknologi perlindungan perisian menandakan satu langkah besar ke hadapan dalam usaha kerjasama institusi bank selaras dengan nasihat daripada Bank Negara Malaysia. 

 

“Privasi pelanggan adalah aspek yang kami tekankan, perlindungan perisian hanya diaktifkan apabila pelanggan melancarkan aplikasi perbankan mudah alih, dan tidak berjalan di latar belakang 24/7. 

 

“Kami memberi jaminan kepada pelanggan bahawa maklumat perbankan dan data peribadi mereka kekal sulit dan dilindungi,” ulas beliau. 

 

Sementara itu, kedua-dua institusi perbankan itu juga menggesa pelanggan untuk terus melindungi diri mereka dengan mematuhi peraturan kebersihan siber yang baik dan tabiat perbankan mudah alih, walaupun pelaksanaan perlindungan perisian membantu mengukuhkan perlindungan terhadap penipuan.

 

Antara langkah pencegahan yang disarankan oleh pihak bank termasuk hanya memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store dan Google PlayStor, jangan membernarkan aplikasi pihak ketiga untuk memantau atau mengawal peranti dan akhirnya, jangan menggunakan rangkaian Wi-Fi awam yang tidak selamat.- DagangNews.com