KUALA LUMPUR 18 Julai - Institut Pengurusan Bertauliah (CMI) Malaysia mengumumkan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom, Ailsa Terry telah terima jemputan berkhidmat sebagai Penaung bagi Lembaga Serantau CMI Malaysia.
Pesuruhjaya Tinggi UK memuji dedikasi CMI dalam meningkatkan standard profesional, memacu kepimpinan beretika dan memupuk pembangunan berterusan dalam komuniti.
“Usaha mereka sudah pasti akan menyumbang bagi pengukuhan profesion pengurusan di Malaysia dan memperkayakan hubungan pendidikan yang kukuh untuk UK dan Malaysia,” tambah beliau.
Sebagai Penaung, Ailsa akan bekerjasama dengan ahli lembaga sukarelawan serantau CMI, rakan kongsi pendidikan tinggi dan ahli untuk memupuk misi badan amal.
Menurut CMI, tujuan kerjasama itu adalah meningkatkan bilangan dan taraf pengurus, membentuk pemimpin yang berkelayakan professional dan memberi inspirasi kepada pemimpin generasi baharu Malaysia.
Selain itu, usaha bersama antara pihak berkenaan akan melengkapkan kedua-dua perkhidmatan awam dengan kemahiran diperlukan dalam aspek pengurusan dan kepimpinan.
Pada masa yang sama, CMI mengumumkan pelantikan Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak sebagai Pengerusi baharu.
Sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengurusan, kepimpinan dan pendidikan tinggi.
Beliau juga merupakan seorang daripada ahli Chartered Companions CMI pertama di Malaysia dan merupakan ahli pertama Lembaga Wilayah Malaysia CMI.
Selain itu, beliau juga telah berkhidmat dalam pengurusan pendidikan di universiti Malaysia, Perancis, China, Jepun dan Indonesia sebelum bersara dari perkhidmatan kerajaan pada tahun 2021.
Menurut Prof. Dr. Mustafa, pihaknya akan menyediakan peluang kepada ahli-ahli program pembangunan profesional serta menjalinkan hubungan dengan institusi pendidikan tinggi, institut vokasional, kerajaan, persatuan perdagangan dan lain-lain di Malaysia dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CMI, Ann Francke menggariskan komuniti pelajar CMI yang berjumlah 5,000 orang itu akan meraih manfaat daripada panduan dan sokongan Ailsa.
“Keputusan Pesuruhjaya Tinggi UK menerima jemputan lembaga wilayah pakar mencerminkan hubungan rapat dan komitmen bersama terhadap pendidikan yang wujud antara UK dan rakan sekerja kami di Malaysia,” ujar beliau.- DagangNews.com