Petronas capai kejayaan cemerlang dalam aktiviti penerokaan pada separuh pertama 2024 | DagangNews Skip to main content

Petronas capai kejayaan cemerlang dalam aktiviti penerokaan pada separuh pertama 2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Petronas mencapai kejayaan cemerlang dalam aktiviti penerokaan dan penilaiannya di Semenanjung Malaysia dan antarabangsa pada separuh pertama 2024.

 

Syarikat tenaga global itu berkata, hasil ujian telaga penerokaan minyak dan gas Bekok Deep-1 pada bulan Mei menunjukkan kadar aliran hidrokarbon yang kuat.

 

“Penemuan ini menyerlahkan potensi hidrokarbon yang besar sekaligus menandakan peristiwa penting dalam sektor tenaga Semenanjung Malaysia sepanjang dekad yang lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

 

Di peringkat antarabangsa pula, Petronas telah mencapai kejayaan di Suriname dengan telaga penilaian Sloanea-2 di Blok 52 yang telah digerudi pada bulan Jun.

 

Katanya, pencapaian itu telah mengukuhkan prospek Petronas dalam sektor lembangan dan membuka peluang untuk membangunkan projek gas asli cecair terapung (FLNG) pada masa hadapan. 

 

Petronas kini sedang menilai kebolehlaksanaan strategi pembangunan bersepadu pengekstrakan gas dan minyak dalam Blok 52.

 

Di samping itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Mohd  Jukris Abdul Wahab berkata, pencapaian separuh pertama tahun ini mengesahkan komitmen  dan kepakaran syarikat melalui hasil penemuan besar di Malaysia dan antarabangsa, didorong oleh pendekatan strategik dan inovatif. 

 

“Pencapaian ini juga menggariskan inisiatif berterusan Petronas untuk meningkatkan usaha penerokaan kami di kawasan tumpuan terpilih dan berusaha untuk menambahkan sumber yang mampan,” ujar beliau. 

 

Sementara itu, Petronas kekal komited dalam memanfaatkan teknologi penerokaan termaju bagi memastikan penyampaian tenaga yang kos efektif dan boleh dipercayai semasa peralihan tenaga pesat.- DagangNews.com