PKP bersasar : Cukupkah duit kerajaan? | DagangNews Skip to main content

PKP bersasar : Cukupkah duit kerajaan?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. -  Pahit untuk Malaysia melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara buat kali kedua.

 

Itu kata seorang penganalisis ekonomi kepada DagangNews.com semalam. 

 

Baca : PKP kedua, Malaysia akan ‘tenat’

 

Namun, pertimbangan Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan PKP bersasar menimbulkan persoalan, adakah impaknya akan sama seperti PKP yang dahulu. 

 

Memandangkan banyak mukim atau kawasan ‘dilabelkan’ sebagai zon merah, sudah pasti ini bakal menyaksikan lebih banyak sekatan sekiranya PKP bersasar dilaksanakan. 

 

Ahli Ekonomi di MIDF Research  bagaimanapun memberikan sedikit kelegaan apabila pihaknya meramalkan masih terdapat ruang untuk kerajaan memberikan suntikan fiskal tambahan kepada ekonomi. 

 

Jangkaan itu dibuat dengan harapan bahawa ekonomi akan terus pulih pada tahun ini, ujar Abdul Mui'zz Morhalim kepada DagangNews.com.

 

“Kerajaan mengunjurkan defisit fiskal akan mencatatkan 5.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 (daripada 6.0% pada 2020) dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara bertambah baik. 

 

“Walaupun sekatan lebih ketat perlu untuk mengekang pandemik COVID-19, kami fikir kerajaan boleh mempertimbangkan PKP bersasar di kawasan-kawasan terjejas kerana impaknya akan kurang signifikan berbanding PKP di seluruh negara.

 

“Jika PKP di seluruh negara dilaksanakan, ekonomi akan terjejas lebih teruk kerana ia turut menjejaskan aktiviti pergerakan dan ekonomi di zon hijau,” katanya. 

 

Semalam, Malaysia mencatatkan angka jangkitan positif COVID-19 tertinggi iaitu 3,027 dengan jumlah kematian 521. 

 

Melihatkan trend jangkitan sehingga mencecah empat digit, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa kapasiti penjagaan kesihatan negara dikhuatiri tidak mampu menampung jumlah pesakit COVID-19 yang kian meningkat.

 

Baca : PKP dilaksanakan semula? Ini faktanya 

 

Disebabkan PKP Bersyarat (PKPB) yang diperkenalkan ketika ini masih tidak mampu menampung penularan jangkitan COVID-19, ini memberi kebimbangan kepada Kementerian Kesihatan sehingga mempertimbangkan pelaksanaan PKP kedua, tetapi kali ini lebih strategik dan bersasar. 

 

Tambah Abdul Mui'zz, cadangan ini wajar kerana dijangka dapat mengurangkan jangkitan dan mengehadkan peningkatan kes-kes baharu. 

 

“Sekiranya PKP bersasar dilaksanakan di kawasan-kawasan merah, kami menjangkakan impak ekonomi tidak akan seteruk PKP pada Mac hingga April 2020.

 

“Pertama, perniagaan masih dibenarkan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Ini bakal mengurangkan impak ke atas rantaian bekalan serta sedikit sahaja pekerja yang mungkin dibuang. 

 

Baca : Takut PKP : Pasaran saham Malaysia jatuh lagi

 

“Kedua, lebih banyak perniagaan kini telah menggunakan pemasaran dalam talian dan beralih digital susulan pengalaman PKP pada tahun lalu. Namun, kami masih menjangkakan perniagaan-perniagaan tetap terjejas akibat aktiviti pengguna yang lebih perlahan,” jelasnya lanjut. 

 

Abdul Mui'zz berkata, perniagaan yang melibatkan pengguna seperti kedai runcit, restoran serta hotel dan penginapan di kawasan terjejas akibat PKP bersasar mungkin sekali lagi berdepan permintaan yang lemah kerana pergerakan pengguna dihadkan. - DagangNews.com