Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 23 Okt. - Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijangka akan mengganggu sebanyak 60% hingga 80% pemulihan jumlah kehadiran pengunjung dan sewa Pavilion REIT sejak Julai.
CGS-CIMB Research berkata, selain PKPB, jangkaan itu juga dinilai berdasarkan kepada potensi lanjutan tempoh PKPB susulan peningkatan kes wabak COVID-19.
"Kami jangkakan PKPB selama 14 hari di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dan potensi dilanjutkan lagi akan menganggu 60% hingga 80% pemulihan jumlah kehadiran pengunjung dan sewa.
"Pada pandangan kami, trend ini boleh berubah pada suku keempat 2020 dan memberi risiko utama kepada pasaraya-pasaraya runcit Pavilion REIT," kata CGS-CIMB Research.
Pavilion REIT mencatatkan penurunan 27% dalam pendapatan untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020.
Penurunan itu disebabkan oleh bantuan sewa dan rebat yang diperkenalkan semasa PKP dan PKPB sejak Mac lalu.
Selain itu, jumlah penghuni yang rendah di pusat beli-belah, penangguhan sewa untuk penyewa terpilih, perarutusan sewa dan hasil pengiklanan yang lemah turut menjadi faktor kepada penurunan pendapatan berkenaan.
Bagaimanapun, prestasi untuk suku ketiga 2020 Pavilion REIT adalah lebih baik susulan pembukaan semula perniagaan dan kelonggaran bantuan sewa.
Pendapatan dan keuntungan bersih bagi suku ketiga 2020 masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 34% dan 127%.
Peningkatan positif itu disumbangkan oleh semua aset kecuali DA MEN Mall.
DA MEN Mall mencatatkan kerugian berterusan pada suku ketiga 2020 dengan jumlah kerugian sebanyak RM5.2 juta pada tempoh sembilan bulan pertama.
CGS-CIMB Research membuat saranan 'pegang' saham Pavilion REIT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.37. - DagangNews.com