KUALA LUMPUR 17 Julai - PLYTEC Holding Berhad, syarikat kejuruteraan pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran bahan binaan, telah mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities.
Bersempena dengan penyenaraiannya, pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan terdiri daripada terbitan awam sebanyak 106,060,600 saham baharu, mewakili kira-kira 17.50% daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan semasa penyenaraian.
Sejumlah 30.3 juta daripada 106 juta saham baharu itu akan tersedia untuk permohonan orang ramai Malaysia manakala baki 75.8 juta saham baharu akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
IPO juga menawarkan penjualan 51.5 juta saham sedia ada, bersamaan dengan kira-kira 8.50% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
Sejumlah 21.2 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan manakala baki 30.3 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Pengarah Urusan Kumpulan PLYTEC, Yang Kian Lock berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka telah menerima kelulusan yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities.
Katanya, pencapaian yang luar biasa itu adalah penting buat mereka dan berfungsi sebagai pengesahan terhadap trajektori pertumbuhan kumpulan.
"Sementara menunggu untuk proses penyenaraian itu, kami akan terus fokus kepada projek yang sedang dijalankan bagi memastikan ia dilaksanaka mengikut piawaian kualiti dan inovasi terbaik," katanya.
KAF Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO itu. - DagangNews.com