SELANGAU 14 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kecewa apabila beberapa menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet beliau tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri berkata, beliau kecewa kerana semua yang terbabit itu mempunyai jasa cukup besar untuk parti dan negara, selain status mereka juga disifatkan sebagai 'winnable' atau calon mampu menang, lapor Berita Harian.
"Ya saya sendiri pun memang rasa kecewa apabila calon 'winnable' itu tidak bertanding," katanya pada sidang media selepas perasmian Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Seksyen Selangau, hari ini.
Ismail Sabri berkata demikian ketika ditanya mengenai masa depan menteri dan timbalan menteri yang tidak dicalonkan, tetapi masih setia bersama parti.
BN melalui pengumuman senarai calon untuk PRU15 sebelum ini menggugurkan nama beberapa menteri dan timbalan menteri daripada Kabinet pentadbiran Ismail Sabri.
Antaranya Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi); Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara).
Turut tidak disenarai semula sebagai calon adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin); Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran); dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebagai mengenang jasa mereka, parti akan memutuskan bentuk ganjaran selepas Barisan Nasional (BN) memenangi PRU15.
"Rakan menteri dan timbalan menteri (yang digugurkan) mempunyai jasa cukup besar kepada parti dan negara.
"Kita tidak akan melupakan jasa mereka, lebih-lebih apabila mereka yang tidak bertanding itu tidak menentang parti," katanya. - DagangNews.com