KUALA LUMPUR 13 Ogos - Pos Malaysia Bhd dan Whoscall, aplikasi anti-penipuan milik Gogolook menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Isnin, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif #ScamFreeMalaysia bagi melindungi rakyat daripada ancaman penipuan bungkusan yang semakin meningkat.
Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dengan Pos Malaysia yang mana semua nombor operasinya, digunakan oleh posmen, akan didaftarkan sebagai 'nombor yang disahkan' dalam aplikasi Whoscall supaya pelanggan Whoscall akan menerima panggilan masuk dan SMS daripada Pos Malaysia yang dipercayai.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo dan Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman, majlis itu juga disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Selain pengesahan nombor, MoU itu juga menggariskan perkongsian antara Pos Malaysia dan Whoscall melancarkan Kempen Kesedaran Parcel Scam, yang akan merangkumi jerayawara di seluruh negara untuk mendidik orang ramai tentang penipuan bungkusan.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Datuk Seri Ramli turut memuji usaha Pos Malaysia dan Whoscall atas langkah proaktifnya dalam memerangi penipuan dalam talian, terutamanya melibatkan penipuan telefon.
"Inisiatif #ScamFreeMalaysia adalah bukti usaha kolektif kami dalam memerangi jenayah dalam talian dan melindungi orang ramai.
"Kerjasama antara Pos Malaysia dan Whoscall merupakan langkah penting dalam usaha berterusan untuk memerangi penipuan dalam talian, termasuk penipuan telefon di negara kita," ulas beliau.
Menurut beliau, rekod dari 2021 hingga 2023 menunjukkan sebanyak 8,011 kes penipuan telefon telah disiasat membabitkan kerugian lebih RM440 bilion.
"Oleh itu, inisiatif kami akan melindungi orang ramai dalam persekitaran siber yang sentiasa berkembang, pihak kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam melindungi rakyat Malaysia daripada semua jenis penipuan,” ujarnya.
Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman berkata, Pos Malaysia merupakan syarikat bungkusan tempatan pertama bekerjasama dengan Whoscall dalam melaksanakan perkhidmatan penandaan "nombor disahkan".
"Penyelesaian inovatif ini akan membolehkan kami mengesahkan lebih 6,600 nombor telefon operasi yang digunakan oleh pasukan kami, menghapuskan ketidakpastian dan membina kepercayaan dengan pelanggan kami.
"Dengan menangani isu penipuan bungkusan secara proaktif, kami bukan sahaja melindungi pelanggan kami tetapi juga meningkatkan reputasi kami sebagai penyedia perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai,” ulas beliau.
Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo berkata, pendaftaran nombor telefon posmen Pos Malaysia ke dalam pangkalan data Whoscall akan menambah satu lagi lapisan perlindungan untuk semua pengguna Malaysia kami.
"Dengan pangkalan data kongsi Whoscall, kami akan dapat melindungi rakyat Malaysia dan memberikan mereka ketenangan fikiran daripada semua jenis penipuan dalam talian, termasuk penipuan bungkusan," ujarnya.- DagangNews.com