KUALA LUMPUR 22 Ogos - Powerwell Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd meraih kontrak bekalan daripada kontraktor antarabangsa berjumlah RM14.75 juta.
Menerusi kontrak itu, Powerwell akan membekalkan, menghantarkan, menyeliakan dan mentauliahkan papan voltan rendah elektrik di pusat data Malaysia.
Powerwell berkata, kontrak itu menggariskan peranannya dalam meningkatkan infrastruktur pusat data Malaysia.
"Projek yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2024 itu akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Eksekutif Powerwell, Catherine Wong berkata kontrak tersebut merupakan bukti komitmen syarikat dalam meningkatkan kecemerlangan kepada sektor bernilai tinggi.
"Projek ini menekankan keupayaan Kumpulan kami untuk menyampaikan penyelesaian elektrik kompleks dan berkualiti tinggi serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju pembekal elektrik dalam industri,” ulas beliau.
Di samping itu, Powerwell juga berkata, kontrak itu dapat memberikan kredibiliti dan fleksibiliti kewangan yang penting untuk membida dan mendapatkan projek berskala besar.
"Melalui perkongsian strategik bersama pemain industri serta pengalaman kami dalam sektor teknologi yang lebih 30 tahun, kontrak itu akan mengukuhkan lagi kedudukan kami di pasaran," ujar Powerwell.
Sementara itu, Powerwell juga menumpukan pada projek bernilai tinggi seperti pusat data, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan projek infrastruktur penting seperti MRT, LRT dan kilang semikonduktor.- DagangNews.com