Powerwell peroleh subkontrak bernilai RM22 juta bekal papan suis voltan rendah bagi projek skim bekalan air Sungai Rasau | DagangNews Skip to main content

Powerwell peroleh subkontrak bernilai RM22 juta bekal papan suis voltan rendah bagi projek skim bekalan air Sungai Rasau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - Powerwell Holdings Bhd menerusi Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM22.05 juta daripada One Ocean Environment Sdn Bhd bagi membekalkan papan suis voltan rendah bagi cadangan projek skim bekalan air Sungai Rasau (peringkat 1), Selangor.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja itu termasuk membekalkan papan suis voltan rendah dan semua bahan, tenaga kerja, loji atau jentera yang diperlukan serta penyeliaan bagi pelaksanaan dan penyiapan kerja.
 

"Projek itu dijangka siap pada penghujung Jun 2025," katanya.

 

Powerwell berkata, subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih disatukan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 dan seterusnya.

 

Kumpulan itu tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa berkaitan subkontrak dan syarikat akan mengambil langkah terbaik bagi mengurangkan risiko tersebut.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2023, untung bersih Powerwell melonjak tiga kali ganda kepada RM13.25 juta daripada RM4.02 juta setahun sebelumnya, dipacu oleh hasil yang lebih tinggi, keuntungan kasar yang bertambah baik dan pendapatan lain daripada pelupusan hartanah pelaburan sebagai serta loji dan peralatan lain.

 

Hasil bagi sembilan bulan melonjak 31.04% kepada RM132.9 juta daripada RM101.42 juta sebelumnya. - DagangNews.com