Pro-Net sasar 30 cawangan pengedar Proton e.Mas menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Pro-Net sasar 30 cawangan pengedar Proton e.Mas menjelang 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Pro-Net merancang menambah bilangan pengedar Proton e.MAS yang berjumlah 18 buah ketika ini kepada 30 cawangan menjelang 2025 susulan permintaan yang tinggi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhang Qiang berkata, dengan penambahan rangkaian pengedar Proton e.MAS ini, Pro-Net berhasrat untuk memimpin industri kereta nasional dalam memanfaatkan perubahan kepada kenderaan elektrik. 

 

"Pengedar kami bukan sekadar untuk menjual kenderaan malahan menyediakan pusat inovasi dan pembelajaran yang bertujuan untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, kata Pro-Net, ketika ini terdapat 18 pengedar sah Proton e.MAS di seluruh negara dengan 17 pengedar yang pertama dibuat di dalam majlis menandatangani perjanjian semasa pelancaran jenama Proton e.MAS pada 12 Jun lalu.

 

"Sebanyak 17 daripada cawangan ini ditempatkan secara strategik di seluruh Semenanjung Malaysia: 3 di Kuala Lumpur, 4 di Selangor, 2 di Johor, 3 di Perak, 2 di Pulau Pinang, 1 di Kedah, 1 di Kelantan, dan 1 di Pahang. 

 

"Satu cawangan di Malaysia Timur iaitu terletak di Sabah," jelasnya.

 

Menurut Pro-Net, cawangan-cawangan itu beroperasi di bawah model rangkaian komprehensif, dari pusat 1S hingga ke pusat 3S untuk memastikan para pelanggan menerima perkhidmatan yang menyeluruh dari setiap aspek. 

 

"Oleh itu, ia menunjukkan dedikasi Pro-Net untuk memulakan ekosistem yang serba lengkap dan komprehensif dalam memastikan kesiapsediaan kepada bakal pemilik Proton e.MAS," katanya.

 

Pengembangan strategik ini juga menegaskan komitmen Pro-Net untuk menyediakan rangkaian yang mudah diakses dan sokongan menyeluruh kepada para pelanggan di seluruh negara demi melangkah ke mobiliti masa hadapan dan lestari bersama Proton e.MAS.

 

"Pengembangan portfolio ini menandakan pencapaian yang signifikan dalam memperluas rangkaian pengedar Proton e.MAS yang diuruskan oleh Pro-Net bagi mengajak lebih ramai rakan kongsi untuk menyertai Proton dalam menjadikan kenderaan elektrik lebih mudah diakses oleh seluruh rakyat Malaysia," ujar Pro-Net.

 

Sementara itu, Pro-Net mencari rakan kongsi yang berminat dalam menyertai rangkaian pengedar Proton e.MAS yang terletak di Alor Setar, Kuala Terengganu, Selangor, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Sandakan dan Tawau. - DagangNews.com