Projek Hidrolektrik Nenggiri bantu kerajaan tingkat kapasiti tenaga boleh diperbaharui | DagangNews Skip to main content

Projek Hidrolektrik Nenggiri bantu kerajaan tingkat kapasiti tenaga boleh diperbaharui

Empangan Ulu Jelai di Cameron Highland, turut berfungsi menebat banjir, dan projek empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang juga akan berperanan serupa. - Gambar TNB

 

 

KUALA LUMPUR 7 Nov - Pembinaan empangan hidroelekrik di Nenggiri, Gua Musang yang dijangka beroperasi pada 2026, bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE), malah membawa pelbagai manfaat dengan menyelesaikan beberapa isu demi kesejahteraan rakyat Kelantan.

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, sebagaimana empangan-empangan lain milik TNB seperti di Skim Hidroeletrik Cameron Highlands, Sungai Perak dan Kenyir, empangan Nenggiri bakal memberi manfaat tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

 

Beliau berkata, air yang ditakung dalam tasik takungan utamanya akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam Sungai Nenggiri dan ini dapat membantu mengawal banjir di hilir empangan ini.

 

Menurutnya, selain membantu mengurangkan banjir, ia juga berupaya membantu Kerajaan Negeri Kelantan mengatasi isu pembekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian, dan membuka peluang pekerjaan ketika pembinaannya dan mewujudkan peluang ekonomi baru di tasik takungan utamanya.

 

“Seperti dibuktikan di Tasik Banding di Perak (Empangan Temengor) dan Tasik Kenyir di Terengganu (Empangan Sultan Mahmud), penduduk setempat juga akan meraih manfaat ekonomi terutamanya dari sektor pelancongan, rekreasi, pertanian, perniagaan kecil serta pembangunan prasarana,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran dokumen perjanjian projek itu dan penyerahan cek pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu pada 2 November lalu. Majlis itu disaksikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kelantan, Dato' Bentara Kanan Dato’ Ahmad Yakob.

 

Projek empangan hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion itu bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila siap nanti.

 

Ir. Baharin menjelaskan empangan hidroelektrik Nenggiri akan meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu (RE) TNB, sejajar menjadi penggerak utama peralihan industri tenaga negara. Apabila siap kelak, ia dapat mengukuhkan usaha TNB memastikan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap untuk rakyat dan negara.

 

“Projek ini menyokong aspirasi tenaga lestari TNB menuju ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang dipacu oleh komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35% serta pengurangan 50% kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

 

''Justeru, ia menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga hijau negara kepada 40% pada tahun 2035,” kata beliau.

 

 

TNB
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (tengah) menyaksikan Dato’ Ahmad Yakob (kiri) dan Datuk Ir. Baharin Din (kanan) menyerahkan dokumen perjanjian Untuk Projek Hidroelektrik Nenggiri Dan Penyerahan Cek Pampasan di Pejabat Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu, Kelantan pada 2 November 2021. - Gambar TNB

 

 

Untuk rekod, kapasiti penjanaan elektrik TNB di Semenanjung ketika ini merangkumi 18% hidroelektrik (2,536 Megawatt atau MW), 0.6% solar (80 MW), 48.2% arang batu (6,800 MW) dan 33.3% gas (4,702.43 MW).

 

Ir. Baharin juga menyifatkan projek ini sebagai  satu amanah TNB kepada rakyat terutama peranan dan komitmen TNB terhadap alam sekitar. Lantaran itu, TNB telah melaksanakan kesemua kerja-kerja awalan dan kajian-kajian yang diperlukan untuk membangunkan projek ini. 

 

TNB juga telah memperoleh semua kelulusan yang diperlukan seperti Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial, Kajian Impak Warisan, dan sebagainya.

 

Komuniti Orang Asli yang terlibat secara langsung dengan projek ini, khususnya dari Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kg. Wias akan dipindahkan ke penempatan baharu dengan infrastruktur dan keperluan asas yang lebih baik dan selesa.

 

Mereka  juga akan diberikan pakej rangsangan ekonomi untuk meningkatkan sosio-ekonomi mereka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan jabatan-jabatan kerajaan yang lain, tambahnya. - DagangNews.com