Prospek jangka pendek SKP Resources malap namun dijangka pulih pada 2HFY24 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek jangka pendek SKP Resources malap namun dijangka pulih pada 2HFY24 – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jun - Prospek jangka pendek SKP Resources Bhd malap namun dijangka pulih pada separuh kedua tahun kewangan 2024 (2HFY24), kata RHB Investment.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prospek jangka pendek kumpulan itu tidak menggalakkan memandangkan tempahan daripada pelanggan utama tidak memberangsangkan, mungkin kerana berhati-hati terhadap permintaan global.

 

Ini juga telah menyebabkan kelewatan pelancaran produk baharu dan SKP Resources terpaksa menyerap kos permulaan tanpa sumbangan jualan.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan ia beransur-ansur pulih ke arah 2HFY24 dengan mengandaikan permintaan global yang lebih jelas dan peningkatan bermusim.

 

“Pada masa itu, pendapatan sepatutnya mengalami lantunan semula dengan jumlah pengeluaran kembali normal dan dirangsang lagi oleh pelancaran produk baharu,” katanya dalam nota.

 

Tambahnya, cadangan tersebut bergantung kepada pertumbuhan ekonomi global sama ada lebih baik atau lebih teruk daripada jangkaan, dan bahagian pasaran lebih tinggi atau rendah daripada jangkaan.

 

Firma itu berkata keputusan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) kumpulan itu mengecewakan dengan hanya mencapai ramalannya dan konsensus masing-masing pada 94% dan 95%.

 

Keuntungan bersih RM145 juta, merosot 12% tahun ke tahun (YoY) akibat kesan margin daripada tempahan jualan yang perlahan lebih teruk daripada jangkaan.

 

“Oleh itu, kami mengurangkan unjuran pendapatan FY24-25 sebanyak 28% dan 11% dan memperkenalkan pendapatan FY26,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada 95 sen sesaham.

 

Setakat pukul 4:35 petang hari ini, saham SKP Resources susut 1 sen atau 1% kepada RM1.02 dengan modal pasaran sebanyak RM1.59 bilion. -DagangNews.com