KUALA LUMPUR 2 Ogos - Proton menjual 15,103 unit termasuk pada bulan Julai mencatatkan permulaan kukuh bagi separuh kedua terakhir tahun ini serta memperkuatkan kedudukannya dalam carta jualan automotif.
Proton berkata, jumlah itu merupakan angka jualan tertinggi sejak September 2022.
Volum jualan meningkat sebanyak 37.3% berbanding dengan bulan sebelumnya, apabila penutupan kilang bagi penambahbaikan operasi memberi kesan kepada volum pengeluaran unit.
“Jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) adalah sebanyak 88,799 unit,” kata Proton dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, jumlah volum industri (TIV) pada bulan tersebut dianggarkan sebanyak 73,761 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 27.1% berbanding bulan sebelumnya, manakala bahagian pasaran Proton pada bulan Julai telah meningkat kepada 20.5%.
Syarikat pengeluar kereta itu juga berkata, jualan meningkat itu merentasi rangkaian model apabila Proton Saga mencapai jualan terbaiknya dalam tempoh lebih sedekad.
“Sebanyak 7,855 unit Proton Saga terjual pada bulan Julai, merupakan pencapaian terbaik untuk model tersebut sejak Oktober 2013.
“Ini membawa jumlah jualan YTD untuk Saga kepada 42,693 unit, merupakan 8.8% lebih tinggi daripada tahun 2023 ,” ujarnya.
Dalam kelas SUV segmen-B, Proton X50 mencatatkan jualan terbaiknya dalam tahun ini apabila Proton X50 2024 menarik semula perhatian pembeli SUV.
Sebanyak 2,585 unit terjual pada bulan Julai, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 12,789 unit.
Selain itu, Proton Persona juga mencatatkan jualan terbaiknya untuk tahun 2024 dengan 1,911 unit terjual, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 11,664 unit.
Proton S70, terjual sebanyak 1,636 unit dalam segmen-C pada bulan Julai dan mempunyai jumlah kumulatif YTD sebanyak 12,550 unit.
Secara keseluruhannya, jumlah jualan Persona dan S70 meletakkan Proton sebagai peneraju sedan segmen-B dan segmen-C, membuktikan strategi dalam pasaran kedua-dua model itu telah dilaksanakan dengan berjaya.
Model-modelnya yang lain seperti Proton X70 terjual 302 unit pada bulan Julai ketika stok dikurangkan sebagai persediaan untuk pelancaran Proton X70 2025.
Sementara itu, Proton Iriz mencapai 537 unit jualan, manakala Proton X90 SUV segmen-D mencatatkan 277 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah meraihkan pencapaian itu yang menetapkan arah bagi separuh kedua akhir tahun 2024 yang produktif.
“Proton sedang merangka rancangan yang akan dilaksanakan dalam bulan-bulan akan datang, bermula dengan pelancaran Proton X70 2025 pada bulan Ogos.
“Pada masa yang sama, kerja asas bagi model EV pertama Proton juga sedang dijalankan dengan pantas sebagai persediaan pelancarannya yang pertama di Malaysia,” ulas beliau. - DagangNews.com