KUALA SELANGOR 20 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
"Ya, saya akan bertanding di (Parlimen) Bera, saya nak (mempertahankan) kawasan, tetapi kena tunggu pengumuman," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, hari ini.
Ismail Sabri juga Naib Presiden UMNO mewakili Parlimen Bera sejak 2004 dan pada PRU-14, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 2,311 undi menewaskan calon daripada PKR dan PAS.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani hari ini mengumumkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU15, penamaan calon pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November 2022.
Berikutan itu, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 November sehingga pukul 11.59 malam, 18 November 2022.
Ditanya mengenai kerjasama UMNO dengan parti lain, Ismail Sabri berkata soal kerjasama dengan parti lain adalah perkara besar yang akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dan fokus utama parti buat masa ini adalah untuk memenangi PRU15.
“Kita perlu menang PRU dulu, baru kita nak cakap soal nak gabung ke berunding dengan sesiapa,” katanya.
Mengulas sama ada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dicalonkan untuk bertanding di kerusi Kuala Selangor, Ismail Sabri berkata, calon-calon yang bertanding akan diumumkan Presiden UMNO atau pengerusi perhubungan negeri masing-masing. - DagangNews.com