KUALA LUMPUR 16 Nov - Bajet 2023 memberi banyak kelebihan kepada Sabah dan Sarawak terutama untuk tujuan pembangunan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berjanji akan meneruskan usaha menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo termasuk memberi keutamaan kepada pembangunan kemudahan penduduk di luar bandar, lapor Astro Awani.
“Ini termasuk sekolah daif yang menjadi isu amat dekat di hati rakyat Sabah dan Sarawak.
“Klinik-klinik desa yang terletak jauh lokasinya dan begitu daif sekali. Saya melihat sendiri video klinik desa, begitu menyedihkan dan perkara ini akan diberikan fokus,” katanya dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam tadi.
Dalam masa sama, Ismail Sabri menafikan dakwaan negeri Sabah dan Sarawak tidak menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kalau ada dakwaan kita tidak beri fokus atau tumpuan kepada Sabah dan Sarawak, itu adalah satu perkara yang tidak benar kerana kita akan terus memberikan perhatian kepada kedua-dua negeri itu bagi memastikan segala kemudahan dan keperluan disediakan untuk rakyat di sana,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, usaha termasuk pelaksanaan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk capaian internet dan banyak lagi diusahakan untuk penduduk Sabah dan Sarawak. - DagangNews.com