PRU15 : Jumlah pengundi di Sarawak meningkat hampir 60% kepada 1.94 juta - Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

PRU15 : Jumlah pengundi di Sarawak meningkat hampir 60% kepada 1.94 juta - Wan Junaidi

SPR Sarawak sudah membuat pelbagai persediaan terutama melibatkan logistik udara, air dan darat. - Gambar : Ir One M/Unsplash

KUCHING 29 Okt - Jumlah pemilih berdaftar yang layak mengundi di Sarawak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meningkat hampir 60% kepada 1,943,074 orang berbanding 1,220,960 pada PRU14.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, daripada jumlah itu, seramai 825,791 adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun yang menjadi kategori paling ramai, manakala pengundi 18 hingga 20 tahun seramai 129,034 orang.

 

Katanya, daftar pemilih Sarawak terkini merekodkan 975,618 atau 50.21% pengundi lelaki diikuti 967,456 (49.79%) pengundi wanita dan 25,799 orang kelainan upaya (OKU), membabitkan 25,782 pemilih biasa, tentera dan pasangan (7) serta polis dan pasangan (10).

 

"Jumlah pengundi awal pula berkurangan kepada 22,127 berbanding 24,545 mengikut rekod daftar pemilih PRU14. 

 

"Daftar keseluruhan juga menunjukkan majoriti pemilih berusia bawah 60 tahun iaitu 1,539,645, manakala 355,413 pemilih berusia 60 tahun ke atas," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

wan junaidi
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

 

 

Wan Junaidi yang juga penyandang kerusi Parlimen Santubong berkata, seramai 38,148 petugas akan bertugas untuk PRU15 yang menyaksikan 1,943 pusat mengundi dibuka, termasuk 55 pusat mengundi awal dengan 4,286 jumlah saluran.

 

"Sebanyak 1,943 pusat mengundi diwartakan membabitkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain. Daripada jumlah itu, 74 pusat mengundi yang terletak di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses telekomunikasi.

 

"SPR mendapat kerjasama syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan semua pusat mengundi itu mendapat liputan perhubungan dan komunikasi tidak terjejas," katanya.

 

Menurutnya, kerjasama dengan SKMM turut diwujudkan bagi memastikan semua pusat penamaan calon memiliki liputan komunikasi bagi memastikan proses penamaan calon pada 5 November ini berjalan lancar.

 

Pada masa sama, katanya, SPR juga mendapat kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat terkini rekod percukaian dan status kebankrapan calon-calon yang akan bertanding.

 

"Semasa hari penamaan calon pula, suruhanjaya itu mendapat kerjasama pihak Peguam Negara untuk memberi nasihat undang-undang kepada pegawai pengurus pilihan raya sekiranya berlaku kekeliruan dan masalah berkaitan undang-undang," tambahnya.

 

Beliau berkata, bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya kali ini, SPR Sarawak sudah membuat pelbagai persediaan terutama melibatkan logistik udara, air dan darat, sekiranya berlaku banjir dengan kerjasama semua agensi keselamatan.

 

"Saya berpuas hati selepas mendengar taklimat Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan berhubung persediaan mereka untuk menghadapi PRU15 di Sarawak, khususnya hari penamaan calon dan hari pengundian pada 19 November ini.

 

"Saya juga minta semua calon, pengundi dan pekerja-pekerja parti sentiasa bekerjasama dengan SPR, tidak melanggar undang-undang serta peraturan-peraturan pilihan raya bagi membantu melicinkan perjalanan proses berkenaan," jelas beliau. - DagangNews.com