BERA 8 Nov - Cadangan pemberian cuti khas sebelum hari pengundian bagi memudahkan pergerakan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dipertimbangkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bercakap dalam sidang media selepas program Kenduri Rakyat di Kampung Bohor Baharu, Kuala Bera di sini hari ini, Ismail Sabri berkata cadangan itu pernah dibincangkan selepas pembubaran Parlimen pada 10 Okt lepas.
“Kita tunggu sahaja jika ada pengumuman daripada saya (cuti khas)… kita akan kaji. Sejak mula bubar, kita dah bincang perkara ini, cuma timing itu… Insya-Allah, tunggulah apa pengumuman yang penting, yang mungkin banyak lagi," katanya, lapor Bernama.
Sebelum ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan mengisytiharkan 18 Nov sebagai cuti umum khas untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada 19 Nov ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, walaupun tarikh mengundi jatuh pada Sabtu, cuti umum tambahan sehari lebih awal itu wajar diberikan memandangkan ramai rakyat Malaysia tidak mengundi di lokasi mereka bekerja. - DagangNews.com