SUNGAI SIPUT 15 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya tidak merajuk terlalu lama sehingga boleh merosakkan parti.
Perdana Menteri meminta pemimpin yang digugurkan termasuk anggota Kabinet kembali membantu jentera parti untuk menang PRU15, Sabtu ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, sama ada terpilih atau tidak, ia adalah asam garam dunia politik yang mesti diterima pemimpin yang digugurkan pada PRU kali ini.
"Adalah normal setiap kali pilihan raya, ada nama digugurkan. Tak ada orang jadi (calon) sehingga mati. Ada yang digugurkan selepas habis tamat waktu mereka.
"Sudah pasti saya selaku Perdana Menteri sedih apabila menteri Kabinet yang saya lihat bagus, tidak dapat bertanding. Tetapi isu itu sudah berlalu. Dua tiga hari mungkin kecewa kerana tak dapat tanding.
"Yang penting selepas kecewa, bertenang dalam tempoh satu dua hari... kembali semula kepada parti dan bekerja seperti biasa. Ini yang berlaku hampir keseluruhan yang digugurkan. Manusia, biasalah ada perasaan tetapi bila tengah kecewa jangan terlalu lama sehingga merosakkan parti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama keluarga Felda Lasah di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan calon BN Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran. - DagangNews.com