PRU15: Tengku Zafrul serahkan segala keputusan kepada pimpinan parti | DagangNews Skip to main content

PRU15: Tengku Zafrul serahkan segala keputusan kepada pimpinan parti

KUALA SELANGOR 20 Okt - Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan segala keputusan kepada kepemimpinan UMNO bagi menentukan sama ada beliau akan dipilih sebagai calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, segala spekulasi mengenainya dirinya termasuk desas-desus yang menyatakan beliau sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Selangor juga hanya boleh dijawab oleh parti itu.

 

"Saya tidak tahu siapa calon, jika anda tahu tolong beritahu saya.

 

"Prospek untuk bertanding itu ada di mana saja dan calon itu ditentukan kepemimpinan parti," katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lapor Berita Harian.

 

Sebelum ini terdapat spekulasi menyatakan Tengku Zafrul adalah antara calon muka baharu daripada 22 calon yang akan bertanding bagi kawasan Parlimen di Selangor.

 

Beliau dikatakan akan bertanding di Parlimen Kuala Selangor selepas mengumumkan kawasan itu sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan dan pada Julai 2022, beliau dipilih sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

 

Terdahulu, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, memaklumkan 21 daripada 22 calon parti itu bagi PRU15 adalah muka baharu.

 

Ditanya sama ada beliau bersedia menjadi calon di kawasan berkenaan, Tengku Zafrul berkata, kehadirannya untuk membantu parti selagi beliau mampu dan tumpuannya hanya untuk membantu parti.

 

Mengulas sama ada beliau sudah membantu parti untuk kempen PRU15, katanya beliau tidak dapat berbuat demikian kerana sibuk dengan kerjanya.

 

"Tumpuan utama saya ketika ini ialah membantu rakyat di sini," katanya. - DagangNews.com