PRU15: Terlalu awal untuk bercakap mengenai penggabungan - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

PRU15: Terlalu awal untuk bercakap mengenai penggabungan - Ismail Sabri

Gambar Facebook Barisan Nasional

KUALA LUMPUR 16 Nov - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, adalah terlalu awal untuk bercakap mengenai gabungan politik yang akan dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya tidak memperoleh kerusi yang cukup bagi membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 

Bukan sahaja terlalu awal, bahkan, kata Perdana Menteri, keputusan untuk bergabung dengan pakatan-pakatan politik lain juga harus dibuat secara kolektif dengan pucuk pimpinan BN, bukannya dengan mana-mana individu, lapor Astro Awani.

 

"Individu tidak berhak untuk menentukan dengan siapa kita nak bergabung selepas pilihan raya… tetapi yang pasti kita akan bersama-sama menjemput parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai contoh dan kita juga bersedia untuk bekerjasama dan akan menjemput parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN dari Sabah.

 

"Bagi saya apa pun kita dapat, berapa banyak kerusi sekalipun, sekalipun kita dapat 120 (kerusi) atau 130, kita mesti mempunyai parti dari Sabah dan Sarawak. Mereka tidak boleh ditinggalkan dalam gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan," kata Ismail Sabri dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam tadi.

 

Dalam masa sama, Ismail Sabri menyatakan keyakinan beliau bahawa BN mampu memenangi 112 kerusi Parlimen, namun, jika itu tidak berlaku, kerajaan campuran adalah pilihan yang terbaik.

 

"Negara-negara yang menuju ke arah negara maju seperti kita, jarang ada satu parti yang menguasai. Biasanya, akan berlaku kerajaan campuran. Jadi kita juga bersedia dan jika kita tidak dapat melintasi 112 kerusi, maka wujudkan kerajaan campuran.

 

"Tetapi kalau kita hanya ada 40 kerusi, orang lain 60 kerusi, tidak mungkin lagi kita boleh mengetuai kerajaan campuran tersebut. Sebab itu, kita hendak mengetuai, sebab sasaran kita kalau boleh melintasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan. Atau tidak boleh sekalipun 80 atau 90 (kerusi), kita lebih dominan berbanding parti lain.

 

"Jadi kalau kita jemput mereka sertai kita, tentulah Perdana Menteri datang daripada kita. Kalau kita dapat 30 (kerusi), orang lain 80, maka orang lainlah akan menjadi Perdana Menteri," ujar Ismail Sabri lagi. - DagangNews.com