KUALA LUMPUR 20 Ogos - Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi memperkenalkan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR 2.0) yang bakal melindungi 300,000 isi rumah miskin tegar dengan sumbangan berjumlah RM16.5 juta.
Pelancaran skim itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program MADANI Rakyat 2024 yang telah berlangsung di Johor.
Pengendali insurans takaful itu berkata, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat 1.0 (SIKR 1.0) yang dilancarkan pada 2022 telah berjaya melindungi lebih 269,000 penerima.
Ia merupakan pelan takaful patuh syariah bertempoh dan berkelompok yang ditawarkan secara percuma, dengan sumbangan yang ditaja oleh Kerajaan Malaysia.
"Kami mengutamakan aspek keringkasan dan kemudahan, ahli skim tidak perlu menjalani pemeriksaan perubatan dan proses pengunderaitan.
"Memandangkan kebanyakan penerima SIKR adalah dari kawasan luar bandar, PruBSN mengambil pendekatan pemasaran yang terintegrasi bagi mencapai segmen populasi ini dengan lebih efektif, iaitu menerusi penganjuran acara dan juga lawatan ke rumah.
"Ia termasuk program-program seperti MADANI Rakyat dan melawat rumah untuk mendidik para penerima skim mengenai manfaat yang mereka dapat perolehi," ujar PruBSN dalam kenyataan hari ini.
Skim itu ditawarkan khas kepada ketua keluarga daripada kategori miskin tegar dan miskin yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih dikendalikan oleh ICU JPM.
Pangkalan data dirumus itu akan memudahkan penyaluran bantuan sosial serta memastikan program-program bantuan kerajaan sampai kepada mereka yang memerlukan secara efektif.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail turut berkongsi, inisiatif itu menawarkan perlindungan takaful percuma bagi golongan miskin untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan dalam jangka panjang demi masa hadapan mereka.
"Skim terbaharu itu menunjukkan usaha kerajaan menjadikan warga Malaysia lebih terangkum dari sudut kewangan sejajar dengan objektif kemampanan PruBSN bagi memastikan keterjaminan kesihatan dan kewangan dapat dinikmati oleh semua golongan," ujar beliau.- DagangNews.com