KUALA LUMPUR 4 Jun - Tiga perolehan aset baharu bakal dilaksanakan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi meningkatkan pertahanan ruang udara negara.
Pembelian ini demi memastikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus bergerak setanding dengan perkembangan teknologi dalam mempertahankan kedaulatan tanahair.
Antaranya pengukuhan sistem pertahanan termasuk teknologi radar terkini serta keupayaan aset udara taktikal dan strategik.
Keupayaan pengawasan dan pengesanan TUDM dengan menerapkan teknologi radar terkini adalah penting untuk bertindak sebagai mata dan telinga di angkasa.
Ini termasuk penggunaan radar pertahanan udara jarak jauh (LR AD Radar) yang dijangka diperoleh secara berperingkat-peringkat pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13.
Keperluan radar berkeupayaan tinggi ini untuk mengesan sebarang pesawat tidak dikenal pasti yang mungkin cuba merentasi sempadan udara negara.
Mindef pada Disember tahun lalu telah menandatangani surat persetujuan (LOA) untuk pembelian sistem radar Ground Master 400 Alpha buatan Thales, Perancis.
Sistem radar Ground Master 400 Alpha ini merupakan peningkatan signifikan terhadap infrastruktur pertahanan Malaysia yang sedia ada.
Radar GM400 berkemampuan mengesan sasaran daripada pesawat-pesawat pejuang dan peluru berpandu berkelajuan tinggi, helikopter dan sistem pesawat tanpa pemandu.
Pada 2021, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah memberikan kontrak bernilai AS$25.1 juta kepada syarikat Lockheed Martin untuk membekalkan sebuah radar pertahanan udara jarak jauh, AN/TPS-77 kepada Malaysia.
Kontrak itu termasuklah alat ganti dan latihan kepada kru TUDM yang bakal mengendalikannya.
Melengkapkan keperluan ini ialah program perolehan sistem pertahanan udara jarak sederhana atau Medium Range Air Defence (MERAD).
Sebagai penggalas utama pertahanan udara negara, sistem MERAD adalah keperluan dalam ekosistem TUDM.
Negara sehingga kini belum mempunyai sistem MERAD yang boleh disifatkan jauh ketinggalan berbanding beberapa negara serantau seperti Vietnam, Singapura, Thailand, Myanmar dan Indonesia.
Pada atas kertas, keupayaan pertahanan udara di darat ATM hanyalah terhad kepada sistem jarak rendah sahaja.
Walaupun rancangan memiliki sistem MERAD telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu, namun hingga kini calon yang dirasakan sesuai untuk TUDM belum diputuskan.
Dengan RMK-12 berbaki setahun, kemungkinan pembelian sistem MERAD dibuat selepas itu.
Perolehan seterusnya yang penting untuk TUDM ialah helikopter saiz sederhana bagi keperluan pengangkutan, operasi dan logistik.
Sepertimana diumumkan sebelum ini, 12 buah helikopter saiz sederhana baharu sedang diintai bagi menggandakan keupayaan skuadron helikopter sedia ada.
Selain aset-aset baharu, TUDM juga perlu memastikan keupayaan logistik sentiasa berada pada tahap baik.
TUDM juga sedang dalam usaha memperkukuhkan keupayaan aset udara taktikal dan strategik bagi memastikan keupayaan pertahanan yang holisitik,
Melalui Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55) Fasa 1 sebanyak 18 buah pesawat tempur ringan FA-50M menjadi pembelian awal.
Pembelian secara berperingkat-peringkat ini bagi menggantikan pesawat pesawat Hawk 108/208 dan MiG-29N yang telah dibersarakan.
Selepas Fasa 1, Mindef akan meneruskan dengan Fasha 2 dan Fasa 3 yang mana peningkatan keupayaan aset-aset akan berterusan mengikut perancangan.
Ini kerana aset-aset sedia ada dilihat amat terhad dengan keadaan geografi wilayah negara yang luas. - DagangNews.com