Ramalan badan bebas hanya propaganda, pengundi jangan terpengaruh - PM | DagangNews Skip to main content

Ramalan badan bebas hanya propaganda, pengundi jangan terpengaruh - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama penduduk kampung Mengkarak Stesen pada program ramah mesra sempena PRU15 di Dewan Balai Raya Mengkarak Stesen, Bera. Pahang pada 16 November 2022 - Gambar BERNAMA

BERA 16 Nov - Pengundi tidak wajar terpengaruh dengan ramalan atau dapatan kajian badan bebas mengenai sentimen penerimaan pengundi terhadap Barisan Nasional (BN) yang didakwa ketinggalan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ia hanya propaganda pihak tertentu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dapatan itu yang banyak tular di media sosial, juga boleh dilihat sebagai perang psikologi daripada parti pembangkang untuk menarik pengundi, khususnya mereka di atas pagar supaya menyokong mereka. 

 

"Itu (ramalan)  propaganda dan kita kena lihat ke arah mana mereka cenderung. Setiap parti ada terlibat dengan syarikat yang akan membuat survei, jadi kalau mereka (syarikat terlibat) dibayar oleh parti yang berkaitan, maka laporan mereka (dilihat) akan lebih (menyokong) parti itu.

 

“Bagi saya, kita jangan terpengaruh (dengan dapatan kajian itu),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Sembang Santai Mengkarak, di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa laporan daripada badan bebas dan pemerhati yang membuat ramalan berhubung penerimaan rakyat terhadap parti politik yang bertanding PRU15, yang mendakwa BN ketinggalan untuk memenangi kerusi Parlimen berbanding parti lawan. - DagangNews.com