Razman, Zainol antara disebut sebagai calon MB Perak  | DagangNews Skip to main content

Razman, Zainol antara disebut sebagai calon MB Perak 

Razman Zakaria (kiri) dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 17 Nov - Calon Menteri Besar Perak bagi Perikatan Nasional (PN) hanya akan diumumkan selepas parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan boleh membentuk kerajaan.

 

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, gabungan itu mempunyai banyak nama yang layak untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak.

 

Antaranya beliau menyebut Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

 

"Ini antara nama-nama yang boleh dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar Perak sekiranya PN berkuasa untuk membentuk kerajaan negeri.

 

"Dua pemimpin tersebut merupakan pemimpin tertinggi PN di Perak dan mempunyai pengalaman sebagai Exco kerajaan negeri," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melancarkan Manifesto PN Perak di sini.

 

Manifesto itu merupakan tambahan kepada tawaran diumumkan oleh PN pada peringkat pusat.

 

Menurut Ahmad Faizal, lantikan Menteri Besar merupakan kuasa Sultan Perak, justeru beliau tidak mahu mendahului keputusan Baginda.

 

 

pn
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah, hadapan) ketika sidang akhbar pelancaran Manifesto PN Perak di Ipoh pada 17 November 2022

 

 

"Kita akan membawa beberapa nama apabila berjaya menubuhkan kerajaan untuk dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.

 

"Kami akan persembahkan beberapa nama yang sesuai untuk dipertimbangkan," katanya. - DagangNews.com