Resintech, CNH Group jalin kerjasama bangunkan asrama bernilai lebih RM34 juta di Kuala Langat  | DagangNews Skip to main content

Resintech, CNH Group jalin kerjasama bangunkan asrama bernilai lebih RM34 juta di Kuala Langat 

Lakaran asrama - Gambar hiasan dari Resintech
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept - Pembuat paip dan kelengkapan plastik, Resintech Bhd memeterai jalinan kerjasama dengan CNH Group Sdn Bhd, yang akan menjadi rakan kongsi dan penyewa bagi cadangan pembangunan asrama di Kuala Langat, Selangor dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM34.1 juta.

 

Sebagai rakan kongsi, firma pembinaan dan kejuruteraan itu akan bersama-sama membina pembangunan bercampur itu di sebahagian tanah seluas kira-kira 4.6 hektar yang dibeli oleh anak syarikat milik penuh Resintech, Johan Panglima (M) Sdn Bhd pada 2021 pada harga RM23.54 juta, menurut pemfailan kumpulan itu di Bursa Malaysia.

 

Tanah itu kini dicagarkan kepada sebuah bank untuk kemudahan pinjaman sebanyak RM21 juta, dengan pinjaman tertunggak sebanyak RM17.87 juta pada akhir Jun tahun ini.

 

Menerusi perjanjian langganan saham yang dimeterai, Kumpulan CNH akan melabur RM1.8 juta untuk membeli 45% pegangan dalam Johan Panglima dengan melanggan 1.8 juta saham baharu Johan Panglima, manakala Resintech akan memasukkan RM200,000 untuk 200,000 saham. 

 

Langganan saham tersebut memberikan Resintech pegangan 2.2 juta saham dalam Johan Panglima, mencairkan pegangan Resintech kepada 55%.

 

Pembangunan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu akan bermula pada Mei 2025, sebaik sahaja kelulusan pelan bangunan diperoleh daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat.

 

Kos pembangunan projek itu dianggarkan sebanyak RM22.6 juta, yang Resintech menjangkakan Johan Panglima akan membiayai melalui dana dalaman dan/atau pinjaman.

 

Pada masa yang sama, Johan Panglima telah memeterai perjanjian penyewaan selama tiga tahun dengan Concepts ATC, sebuah syarikat pengkhususan dalam pembekalan buruh dan penginapan pekerja yang akan menyewa tiga blok bangunan, termasuk 158 unit asrama dan empat kedai runcit dari Johor Panglima yang akan berfungsi sebagai penginapan pekerja dan kedai komersial.

 

Jumlah sewa sepanjang tempoh dianggarkan berjumlah RM12.09 juta. Terdapat juga peruntukan untuk pembaharuan tiga tahun lagi, tertakluk kepada kenaikan sewa yang dipersetujui bersama tidak lebih daripada 10%.

 

Perjanjian itu akan mengukuhkan prestasi kewangan kumpulan dan melanjutkan pengembangan strategiknya ke dalam pembangunan hartanah, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan berasingan.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Resintech, Datuk Dr Teh Kim Poo berkata, perkongsian dengan Kumpulan CNH adalah langkah strategik ke hadapan untuk Resintech kerana kumpulan itu terus mempelbagaikan portfolio perniagaannya serta membawa kepakaran yang tidak ternilai dalam pembangunan hartanah.

 

Beliau yang juga pemegang saham terbesar dalam Resintech dengan 53.18% kepentingan berkata, perjanjian penyewaan dengan Concepts ATC adalah komponen penting dalam kejayaan projek.  

 

“Dengan mendapatkan penyewa jangka panjang walaupun sebelum pembinaan bermula, kami memastikan Johan Panglima akan mempunyai aliran pendapatan yang boleh dipercayai dan stabil serta-merta selepas projek siap. Pendapatan sewa akan menampung kos operasi dan mengukuhkan kestabilan kewangan kami dalam jangka panjang,” katanya.- DagangNews.com